Sunday, December 21, 2008

BERSAMA ZAUJI DAN ANAK-ANAK 'MAJLIS IDIL FITRI"

Pengurus Al Tartil dan suami serta anak-anak. Gambar ini diambil pada hari raya Idil Fitri 1429H di Dewan Al Tartil. Dewan Al Tartil ni dapat menampung 90 orang dewasa. Manakala kanak-kanak pula 120 orang tu insya Allah masih selesa lagi. Dewan ni biasanya digunakan bila ada majlis seperti Majlis hari raya, kem motivasi untuk pelajar-pelajar Al Tartil Centre, Kursus-kursus atau seminar-seminar anjuran Al Tartil Centre. Kalau ada yang berminat untuk sewa dewan ni pun boleh hubungi kami.
Untuk pengetahuan pembaca pelajar-pelajar Al Tartil Centre akan diberi motivasi dua bulan sekali. Alhamdulillah untuk tahun ini sudah 4 kali motivasi diadakan. Mudah-mudahan melalui program itu, dapat membantu menyemarakkan semangat pelajar untuk lebih rajin lagi belajar al-Quran dan lebih bersungguh lagi meningkatkan kecemerlangan mereka dalam akademik serta dan tidak lupa mengerjakan solat serta mentaati kedua ibubapa. Penceramah motivasi pula kami jemput daripada kalangan mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan.

Tuesday, December 9, 2008

BENGKEL PEMANTAPAN DAN PENGHAYATAN SURAH YAASIIN

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari sedang membentangkan
kertas kerja berhubung dengan " Tafsir Surah Yaasiin"

Ayahanda Tn.Hj. Ab.Ghani bin Md. Amin
sedang menyampaikan ceramah beliau
berhubung dengan "kaifiyat Membaca Surah Yassin Dan Doa Yaasiin Beserta Maknanya"


Peserta khusyu' mendengar ceramah
berhubung dengan Surah Yaasiin

Thursday, October 23, 2008

Majlis Idil Fitri 2008

Penyampaian Hamper oleh Pengurus Al Tartil Centre kepada Tenaga Pengajar...terima kasih atas khidmat yang diberikan.











Cabutan bertuah...tahniah !!

Pengurus bersama suami dan tenaga pengajar Al Tartil Centre



Sesi Fotografi Sebahagian Daripada Pelajar Lelaki


Sesi Fotografi Sebahagian Daripada Pelajar Perempuan

Wednesday, October 15, 2008

Biodata Penasihat Al Tartil Centre

Ustaz Hj. Muhammad Amiri bin Hj. Ab. Ghani bin Mohd Amin, berasal dari Machang, Kelantan. Beliau mula mempelajari al-Quran peringkat asas daripada ayahnya sendiri iaitu bekas imam Masjid Sultan Yahya Petra Machang dan Masjid Tengku Faris Petra, Kuala Krai, Kelantan yang sering menjadi hakim tilawah al-Quran peringkat jajahan Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai bahagian tajwid pada awal 70-an hingga 90-an.

Beliau mendapat pendidikan peringkat menengah di Sek. Men. Agama ( Arab ) Syamsul Maarif Pulai Chondong dan menduduki Sijil Tinggi Ugama di sekolah yang sama cawangan Labok. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir. Di situ, walaupun beliau penuntut di Jabatan Usuluddin Fakulti Hadis, namun kerana minat dan cinta yang begitu mendalam terhadap Ilmu Qiraat, beliau telah bertalaqqi al-Quran daripada beberapa orang syaikh yang berwibawa.

Di Kaherah, beliau mula bertalaqqi al-Quran mengikut Qiraat ‘Asim Riwayat Hafs daripada gurunya yang pertama iaitu almarhum Syaikh Mustafa bin Ahmad bin Abdul al-‘Al al-Halawani. Setelah khatam dengan bacaan itu, beliau bertalaqqi pula Qiraat Nafi’ Riwayat Qalun dan Warsy serta Qiraat Ibnu Kathir. Beliau juga menerima sanad qiraat tersebut daripada gurunya itu.

Kemudian beliau dipertemukan dengan Syaikh Ridha Salim ‘Ali Sayyed Ahmad yang merupakan salah seorang tenaga pengajar Ma‘ahad al-Qiraat Syoubra. Beliau bertalaqqi al-Quran daripadanya mengikut kaedah Jama’ Qiraat Sepuluh berdasarkan Tariq al-Syatibiyy dan al-Durrah selama 2 tahun dan menerima ijazah sanad daripada gurunya itu.

Beliau juga sering mengikuti halaqat tadarus al-Quran yang dipimpin oleh Syaikh Abdul Hakim Ibnu Abdul Latif di Masjid Sayyidi Abi Abdullah Shamsudin al-Muhammadi di ‘Abasiyyah, Kaherah. Beliau juga sempat bertemu dengan almarhum Syaikh Abdullah al-Jauhari al-Sayyed dan mengaju beberapa persoalan kepadanya berhubung dengan qiraat.

Kini, beliau bertugas sebagai Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan merangkap Penyelaras Pusat Kursus Pengajian Ilmu-ilmu Islam (PKPII), KIAS. Di kolej itu, beliau ditugaskan mengajar subjek al-Quran dan al-Qiraat. Beliau juga telah menerbitkan kitab yang berkaitan dengan qiraat iaitu ” Juzu’ ’Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq al-Syatibi” dan " Nafahatul Jinan Fi Usul Riwayat Qalun". Beliau juga pernah diundang menjadi imam terawih di Masjid Darul Makmur Yishun, Singapura 2005 – 2007. Bagi rancangan Akademi Quran (AQ)TV9, Peringkat Negeri Kelantan pada Febuari 2007 yang bertempat di Balai Islam, Kota Bharu, beliau menjadi juri bahagian Fasohah.

Saturday, March 29, 2008

Gema Maulidur Rasul Alaf Digital

Majlis “Gema Maulidur Rasul Alaf Digital” berlangsung pada 29/3/2008 ( Sabtu ) Anjuran Al Tartil Centre dengan kerjasama Mihrab Centre. Sambutan majlis memuaskan pihak penganjur dengan kehadiran peserta 55 orang. Ceramah disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Mohd Azhar Abdullah, Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Majlis dibuka dengan bacaan surah al-Fatihah dan ditutup dengan alunan ayat-ayat suci al-Quranulkarim yang dialunkan oleh Al-FAdhil Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim Al-Hafiz, pensyarah KIAS dan seterusnya berselawat dengan dipimpin oleh beliau.

"Penyampaian ceramah dengan bantuan slide yang menayangkan gambar-gambar serta clip video yang berkaitan dengan sirah Rasulullah amat berkesan dan menyentuh perasaan serta peserta dapat menghayati betul-betul perjuangan Rasulullah dan dapat melihat gambaran masyarakat Arab sebelum dan selepas kebangkitan Rasulullah", ujar Pn. Aribah Ab.Ghani yang merupakan salah seorang peserta program tersebut. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah mengadakan program ini dan mencadangkan Program seumpama ini disasarkan kepada golongan remaja untuk menghayati sirah Rasulullah s.a.w. demi membentuk diri mereka bersyakhsiah menurut acuan yang dibawa oleh Rasulullah s.aw.

Menurut Cikgu Solahudin bin Abd Majid "secara umumnya majlis yang pertama kali diadakan seperti ini amat baik dan memberi kesan positif kepada peserta dan mencapai objektif program untuk merangsang kecintaan suci dan mendalam terhadap Rasulullah s.a.w". "Sistem pembesar suara yang kuat dan baik dalam Dewan Tartil itu juga menarik perhatian peserta terutama apabila menayangkan gambaran kiamat dan penyiksaan orang-orang kafir terhadap pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w." tambah beliau. Beliau juga yakin program ini mendapat sambutan jika promosi diperluaskan lagi kerana ianya lain dari yang lain dengan penyampaian penceramah yang meyakinkan peserta.
Sebenarnya Program ini merupakan program pertama diadakan di Dewan al Tartil setelah dirasmikan oleh Al Fadhil Tuan Hj. Ab. Ghani Md. Amin, Imam Masjid Sultan Yahya Petra, Machang pada 24 Mac 2008 ( Isnin ). Terima kasih kepada penasihatku yang sentiasa dicintai Ustaz Muhammad Amiri yang juga merupakan Penasihat Al Tartil Centre yang telah banyak membantuku mengendalikan program ini. Terima kasih kepada penceramah, peserta yang hadir dan mereka yang menghulurkan sumbangan dalam menjayakan program tersebut.