Saturday, March 29, 2008

Gema Maulidur Rasul Alaf Digital

Majlis “Gema Maulidur Rasul Alaf Digital” berlangsung pada 29/3/2008 ( Sabtu ) Anjuran Al Tartil Centre dengan kerjasama Mihrab Centre. Sambutan majlis memuaskan pihak penganjur dengan kehadiran peserta 55 orang. Ceramah disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Mohd Azhar Abdullah, Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Majlis dibuka dengan bacaan surah al-Fatihah dan ditutup dengan alunan ayat-ayat suci al-Quranulkarim yang dialunkan oleh Al-FAdhil Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim Al-Hafiz, pensyarah KIAS dan seterusnya berselawat dengan dipimpin oleh beliau.

"Penyampaian ceramah dengan bantuan slide yang menayangkan gambar-gambar serta clip video yang berkaitan dengan sirah Rasulullah amat berkesan dan menyentuh perasaan serta peserta dapat menghayati betul-betul perjuangan Rasulullah dan dapat melihat gambaran masyarakat Arab sebelum dan selepas kebangkitan Rasulullah", ujar Pn. Aribah Ab.Ghani yang merupakan salah seorang peserta program tersebut. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah mengadakan program ini dan mencadangkan Program seumpama ini disasarkan kepada golongan remaja untuk menghayati sirah Rasulullah s.a.w. demi membentuk diri mereka bersyakhsiah menurut acuan yang dibawa oleh Rasulullah s.aw.

Menurut Cikgu Solahudin bin Abd Majid "secara umumnya majlis yang pertama kali diadakan seperti ini amat baik dan memberi kesan positif kepada peserta dan mencapai objektif program untuk merangsang kecintaan suci dan mendalam terhadap Rasulullah s.a.w". "Sistem pembesar suara yang kuat dan baik dalam Dewan Tartil itu juga menarik perhatian peserta terutama apabila menayangkan gambaran kiamat dan penyiksaan orang-orang kafir terhadap pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w." tambah beliau. Beliau juga yakin program ini mendapat sambutan jika promosi diperluaskan lagi kerana ianya lain dari yang lain dengan penyampaian penceramah yang meyakinkan peserta.
Sebenarnya Program ini merupakan program pertama diadakan di Dewan al Tartil setelah dirasmikan oleh Al Fadhil Tuan Hj. Ab. Ghani Md. Amin, Imam Masjid Sultan Yahya Petra, Machang pada 24 Mac 2008 ( Isnin ). Terima kasih kepada penasihatku yang sentiasa dicintai Ustaz Muhammad Amiri yang juga merupakan Penasihat Al Tartil Centre yang telah banyak membantuku mengendalikan program ini. Terima kasih kepada penceramah, peserta yang hadir dan mereka yang menghulurkan sumbangan dalam menjayakan program tersebut.