Monday, November 2, 2009

Album Majlis Idilfitri 09

Pelajar beratur untuk pendaftaran...haa..siapa datang awal dapat nombor cabutan bertuah.

solat Asar berjemaah

Pelajar beri perhatian penuh mendengar ucapan daripada Pengurus Al Tartil Centre
Persembahan daripada pelajar Al Tartil Centre

adik Rafiq dan Radzif sedang berpantun...
persembahan nasyid daripada kumpulan Hafs....sedapnya suara adik-adik ni....
Ustaz Zulkiflee Bachik, Pengurus At Tartil Consultancy & Services, Singapura turut menyerikan majlis...menyampaikan hadiah cabutan bertuah.

Sesi Fotografi


Ayahanda Hj. Ab. Ghani b. Md Amin Imam Masjid Al-Ihsan merangkap Penasihat II Al Tartil Centre, membaca doa..

Juadah Raya

Terima kasih kepada pelajar yang membawa kek "Al Tartil" untuk dirasai bersama

Friday, October 23, 2009

Majlis Idilfitri 2009 meriah...

Alhamdulillah..tanggal 14 0ct 2009 al tartil dengan jayanya telah selamat mengadakan majlis hari raya aidil fitri. Majlis ini bermula dengan pendaftaran para pelajar pada jam 4 petang..namun sambutan diluar jangkaan kerana para pelajar telah mendaftarkan diri seawal jam 3 petang..ini kerana pelajar yang mendaftarkan diri 20 minit sebelum majlis bermula akan mendapat cabutan bertuah.

Setelah pelajar mendaftarkan diri para pelajar telah dihimpunkan di dewan altartil. Sambil menunggu waktu asar..seluruh penjuru dewan dihidangkan dengan halwa telinga yang menginsafkan diri iaitu dengan alunan-alunan selawat dan tasbih kepada yang esa. Solat asar yang diimami oleh suamiku tersayang, yang mana diakhiri solat asar juga dengan tasbih-tasbih memuji ilahi.Selesai mengerjakan solat asar,para pelajar mengambil tempat masing-masing.

Majlis ini dimulai dengan lagu altartil dan dipengerusikan oleh us mohd firdaus..satu-satunya ustaz yang berkhidmat di altartil.Aku memberi sepatah dua kata untuk merasmikan majlis ini,seterusnya cabutan bertuah diselangi dengan persembahan para pelajar.
Turut hadir di majlis ini juga ialah ayahanda dan bonda serta Ustaz Zulkifli sahabat suamiku dari singapura yang merupakan pengurus AtTartil consultancy & services. Kalian boleh layari laman web beliau... Http://attartil.multiply.com/

Majlis ini juga diteruskan dengan acara bergambar.oppss lupa!! Seramai 160 pelajar altartil hadir memeriahkan majlis ini.
Setelah selesai acara dewan..acara yang di tunggu-tunggu iaitu acara makan. Banyak juadah hari raya yang dibawa oleh para pelajar..termasuk sebiji kek yang ditempah khusus untuk altartil..majlis ini berakhir pada jam 6.45 petang yang meninggalkan sebuah memori di dalam lipatan kenangan yang sukar dilupakan untuk selamanya.
Terima kasih banyak kepada semua yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.kepada para tenaga pengajar tanpa kalian siapalah altartil..kepada suamiku..tanpa sokongan moral darimu siapalah aku..oleh itu terima kasih banyak-banyak.

Friday, October 2, 2009

KELAS TALAQQI QIRAAT AL-QURAN

Kelas Talaqqi Qiraat al-Quran yang akan dibimbing oleh Ustaz Muhammad Amiri B. Ab. Ghani, Pensyarah KIAS akan dimulakan sebagaimana berikut :

Tarikh : 5 Oktober 2009

Hari : Isnin

Tempat :Al Tartil Centre

Masa : 5.45 - 7.00 mlm ( Dewasa Muslimat )
: 9.30 - 10.45 mlm ( Dewasa Muslimin )

Yuran : RM 10.00 ( Pendaftaran )
: RM 20.00 - Yuran bulanan bagi Muslimat
: RM 30.00 - Yuran bulanan bagi Muslimin

Keterangan lanjut sila hubungi :
Pengurus Al Tartil Centre
Ustazah Hajar : 013-9237072

Thursday, October 1, 2009

PENDAFTARAN KURSUS " HAYYA BILUGHATIL QURAN" SESI OKT 09 - JAN 10

Pengenalan
Al-Qur’an dan al-Hadis adalah sumber utama bagi ilmu pengetahuan di dalam Islam. Kedua-dua sumber tersebut berpengantarkan bahasa Arab. Oleh itu, untuk memahami kedua-duanya memerlukan pengetahuan mengenai bahasa Arab sama ada dari segi kosa kata, tatabahasa dan semantika.Kursus ini cuba mengenengahkan beberapa tajuk penting di dalam ilmu bahasa Arab untuk memahami al-Qur’an dan al-Hadis melalui modul-modul yang disediakan.
Objektif
Selepas mengikuti kursus ini, insya-Allah peserta dijangkakan akan dapat :
* memahami maksud ayat-ayat al-Qur’an melalui kaedah-kaedah nahu dan sorf yang dipelajari.
* menggunakan kaedah-kaedah tersebut untuk memahami teks-teks berbahasa Arab yang lain.
* menggunakan bahasa Arab yang dipelajari dalam penuturan dan penulisan ringkas.
Kandungan Kursus
(Modul 1 = 30 jam):
Kajian Surah-surah berikut :
Al-Fatihah, Al-Nas hingga al-Qadr
Waktu Kuliah
Setiap Jumaat
Bermula pada 16 Oktober 2009
Masa Bagi Modul 1:
8.00 - 10.00 pg
Masa Bagi Modul 2 :
sesi 1) 10.00 - 12.00 tgh ( Bagi yang sudah ada asas Bahasa Arab )
sesi 2) 3.00 - 5.00 petang ( Bagi yang tiada asas Bahasa Arab )
Yuran Pengajian
RM 170.00 termasuk pendaftaran dan nota pengajian bagi satu modul.
Bayaran boleh dibuat secara ansuran bulanan sepanjang tempoh pengajian setiap modul.
Daftar segera!! Tempat Terhad.
Bagi pendaftaran secara online sila click comments dan masukkan nama penuh, no ic dan nombor telefon.

Wednesday, September 30, 2009

MAJLIS 'IDIL FITRI

Al Tartil Centre menjemput semua pelajar Al Tartil Centre ke Majlis 'Idil Fitri 1430 pada :

Tarikh : 14 Oktober 2009
Hari : Rabu
Masa : 4.30 - 6.30
Tempat : Dewan Al Tartil
Pelajar-pelajar yang datang 20 minit awal akan diberikan nombor untuk cabutan bertuah.

Semoga kehadiran adik semua akan memeriahkan lagi majlis tersebut. Diharapkan pelajar-pelajar dapat membawa makanan atau kuih raya untuk dinikmati bersama Ustaz-ustaz, ustazah-ustazah dan rakan-rakan.

Sebahagian Pelajar-pelajar Al Tartil Centre bergambar sempena majlis 'Idil Fitri 2008

Tuesday, September 22, 2009

SESI FOTOGRAFI BERSAMA KELUARGA

Alhamdulillah, menjadi kebiasaan dan kelaziman pada hari raya kedua semua adik beradik berkumpul di Istana Bahagia, Machang. Inilah keluarga suamiku tercinta. Lihatlah betapa ramai adik beradiknya. Semua adik beradiknya yang seramai 10 orang iaitu 5 lelaki dan 5 perempuan balik beraya dan berhimpun. Semoga keceriaan yang terbina berterusan hingga ke anak cucu cicit.
Pengisian Hari Keluarga Pada Hari Raya...
Sambil bersalam bermaaf-maafan..."Nak duit raya!!!nak duit raya!!!".mmm...siap berbaris lagi.
menjamu selera anak-anakku dengan sepupu mereka...mengeratkan tali persaudaraan.

Anakku yang sulung Amirah Hasifah sedang perdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Pucat mukanya sebab tiba-tiba je Abinya suruh dia duk kat depan sepupu-sepupunya dan baca beberapa ayat daripada surah al-Baqarah.
Acara gamesssss...saksikan penuh debaran!!

Bersiap sedia untuk bowling kelapa...alhamdulillah..kena sasaran tau!! baju biru tu adik iparku dari Penang..zaujah Abu Hazieq.blogspot.com

Belon tu bukan untuk dipandang je..tapi setiap kumpulan kena pecahkan belon mengikut warna yang diarah. mata pulak ditutup. Haa..pandai2 lah cari ikut arahan ketua. Belon tu siap berisi air lagi.

Seramnya!!sampai anakku si Hasif tak bergambar sekali sebab menangis..takut.sape tu? haha..itulah suamiku. Pertandingan "The Mummy"..siapa siap awal dengan dibekalkan 2 gulung tisu, dia johan. YE!YE! Kumpulan kelurgaku jadi juara.

Tahniah..tahniah!!...emm...dapat cabutan nombor telefon bertuah. 3 nombor telefon jadi bertuah. Dapatlah 3 hadiah. Jgn jelous ye adik-adik.hihi.Tahun depan beli sim card bnyk2 ye...

Saturday, September 19, 2009

1 Syawwal 1430

Sempena kehadiran 1 Syawwal 1430h, Al Tartil Centre mengucapkan "Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin" kepada semua muslimin dan muslimat, khususnya buat Tenaga Pengajar Al Tartil Centre, ibubapa/penjaga Pelajar Al Tartil Centre, pelajar-pelajar Al Tartil Centre.

Semoga kehadiran Syawwal tahun ini membawa seribu pengertian dan keinsafan kepada kita dan semoga amal ibadat yang dikerjakan dalam bulan Ramadhan diterima Allah s.w.t, seterusnya membentuk diri kita sebagai orang yang bertaqwa.

Firman Allah s.w.t : (Al-Baqarah : 183 ) yang bermaksud ;

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Friday, September 18, 2009

DOA TILAWAH AL-QURAN

Doa ini dibaca oleh pelajar Al Tartil Centre setiap kali berakhir kelas pengajian mereka ;

•Ya Allah, Ya Tuhan kami! Rahmatilah kami dengan Al-Quran

dan jadikanlah Al-Quran bagi kami sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat.

Ya Allah, Ya Tuhan kami!Ingatkanlah kami apa yang kami terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran.

Ajarkanlah kami daripada Al-Quran apa yang belum kami ketahui.

Berikanlah kami kemampuan membacanya sepanjang malam dan siang;

dan jadikanlah Al-Quran itu hujah bagi kami (untuk menyelamatkan kami di akhirat),

wahai Tuhan Sekalian Alam.

Thursday, September 17, 2009

MENELUSURI ILMU TAJWID : TUMPUAN TERHADAP SURAH AL-FATIHAH

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab.Ghani
Penyelaras Pusat Kursus Pengajian Ilmu-ilmu Islam ( PKPII )
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS )

Kertas kerja ini membincangkan kelebihan mempelajari Ilmu Tajwid, kepentingannya dan mengupas beberapa hukum tajwid yang terkandung di dalam Umm al-Kitab[1].

2. Pengertian Tajwid
Al-Syaikh al-Islam Zakaria al-Ansari pernah membentangkan pengertian tajwid itu dengan maksudnya : “ Iaitu bacaan yang tidak cacat makna dan i’rab ”. Mempelajari ilmu tajwid bermaksud mempelajari cara melafaz perkataan-perkataan al-Quran dengan betul.

3. Hukum Mempelajari Ilmu Tajwid
Mempelajari ilmu tajwid merupakan fardhu kifayah yang membawa erti sesebuah negeri atau daerah akan berdosa jika tidak ada orang yang mempelajari ilmu tersebut. Namun demikian, adalah menjadi satu kewajipan dan kemestian al-Quran itu dibaca dengan bertajwid[2]. Ini adalah bersesuaian dengan penurunannya secara bertajwid[3].

4. Kelebihan Mempelajari Ilmu Tajwid
Ilmu Tajwid adalah semulia-mulia ilmu kerana berhubung rapat dengan semulia-mulia kitab. Ini memberi erti bahawa seseorang yang mempelajari ilmu tajwid bermakna dia mempelajari al-Quran semulia-mulia kitab.

5. Huraian Hukum Tajwid Dalam Al-Fatihah
Antara hukum-hukum tajwid yang terdapat di dalam al-Fatihah ialah sebagaimana berikut ;
5.1 Pertama : Hukum Lam Al-Ta’rif ( ال التعريف )
Iaitu lam mati yang didahului hamzah wasal [4] berbaris atas dan selepasnya merupakan kata nama. Misalnya ; awal kalimah daripada ayat kedua.

Hukum Lam Ta’rif terbahagi kepada dua bahagian :
1. Izhar (nyata): Dinamakan sebagai Lam Qamariyyah
2. Idgham (memasukkan) : Dinamakan sebagai Lam Syamsiyyah

5.1.1 Lam Qamariyyah. Dibaca dengan izhar (nyata) lam apabila bertemu dengan salah satu daripada 14 huruf qamariyyah yang terkandung dalam rangkaikata :
إبْغِ حَجَّكَ وَخَفْ عَقِيمَهُ
Lam Qamariyyah ( اللام القمرية ) yang terdapat dalam al-Fatihah ;

5.1.2 Lam Syamsiyyah Dibaca dengan idgham (memasukkan) lam apabila bertemu dengan salah satu daripada 14 huruf syamsiyyah yang terkandung dalam rangkaikata :
طِبْ ثُمَّ صِلْ رَحْمًا تَفُزْ ضِفْ ذَا نِعَمْ
دَعْ سُوءَ ظَنٍّ زُرْ شَرِيفًا لِلْكَرَمِ
Lam Syamsiyyah ( اللام الشمسية ) yang terdapat dalam al-Fatihah ;

5.2 Kedua : Mad
Mad dari segi bahasa : Pertambahan[5].
Menurut istilah : Memanjangkan sebutan suara dengan huruf mad[6] lebih dari dua harakat ketika bertemu hamzah atau sukun.

Mad terbahagi kepada dua bahagian ;
i. Mad Asli : Mad yang tidak terdapat huruf hamzah sama ada sebelum atau selepasnya, begitu juga tidak terdapat huruf mati selepasnya.

ii. Mad Far‘ie : Mad yang terdapat huruf hamzah sebelumnya atau selepasnya, begitu juga sekiranya terdapat huruf mati selepasnya. ِ
A. Mad Asli
Mad Asli yang terdapat dalam surah al-Fatihah ialah ;
Kadar harakat ; Bagi Mad Asli kadar harakatnya ialah 2 harakat.
B. Mad Far‘ie ;
Antara Mad Far‘ie[16] yang terdapat dalam al-Fatihah ialah ;
i. Mad ‘Aridh Lissukun ( مد عارض للسكون )
Iaitu selepas huruf mad terdapat satu huruf yang berbaris dan terletak di akhir kalimah, tetapi dimatikannya kerana wakaf. Kalimah-kalimah yang berlaku hukum Mad ‘Aridh Lissukun ialah ;
Kadar harakat : Bagi Mad ‘Aridh Lissukun kadar harakatnya ialah harus dibaca 2 atau 4 atau 6 harakat.

ii. Mad Lin Iaitu huruf wau atau ya’ mati yang terletak selepas huruf berbaris atas dan diikuti pula huruf mati selepasnya kerana wakaf. Mad Lin yang terdapat dalam al-Fatihah sekiranya diwaqafkan padanya;
Kadar harakat : Apabila dibaca wakaf, maka kadar harakatnya harus dibaca 2 atau 4 atau 6 sebagaimana Mad ‘Aridh Lissukun. Tetapi sekiranya wasal maka dibaca qasr (tanpa mad).

iii. Mad Lazim[17] Kalimi[18] Muthaqqal[19]
Iaitu terdapat huruf mati yang lazim (tetap) selepas huruf mad dalam satu kalimah. Huruf yang mati itu diidghamkan (dimasukkan) ke dalam huruf selepasnya maka jadilah satu huruf yang bertasydid. Atau cara mudah untuk mengenali mad ini ialah apabila terdapat huruf yang bertasydid selepas huruf mad.
Dalam surah al-fatihah hanya terdapat satu sahaja Mad Lazim Kalimi Muthaqqal iaitu; Kadar harakat : Mad Lazim Kalimi Muthaqqal dibaca 6 harakat.

5.3 Ketiga : Hukum Mim Sakinah ( مْ )
Mim sakinah ialah mim yang matinya tetap pada ketika wasal dan wakaf. Bagi mim sakinah terbahagi kepada tiga hukum apabila mim mati bertemu dengan salah satu daripada 28[20] huruf hija‘iyyah ;
i. Izhar Syafawi ii. Ikhfa’ Syafawi iii. Idgham Mithlain Saghir
Walaubagaimanapun hukum mim sakinah yang terdapat dalam al-Fatihah ialah Izhar[21] Syafawi[22].
Hukum Izhar Syafawi terjadi apabila mim sakinah bertemu dengan selain huruf ba’ dan mim. Kalimah yang berlaku hukum izhar syafawi di dalam al-Fatihah ;

5.4 Keempat : Hukum Nun Sakinah ( نْ ) Dan Tanwin[23] ( ـًـــــٍــــٌ ) ;
Nun sakinah (nun yang mati) atau tanwin, apabila bertemu dengan salah satu daripada huruf-huruf hija‘iyyah[24] maka ia terbahagi kepada empat hukum ;

i. Izhar ii. Idgham iii. Ikhfa’ iv. Iqlab
Walaubagaimanapun, di dalam surah al-Fatihah hanya terdapat satu hukum sahaja iaitu Izhar Halqi.

Bacaan Izhar bermaksud : menyatakan huruf nun mati atau tanwin apabila bertemu dengan salah satu daripada enam huruf yang terhimpun dalam rangkaikata :
أغْحٍ خَعَه
Dalam al-Fatihah hanya satu kalimah sahaja yang terjadi hukum Izhar Halqi ;

5.5 Kelima : Hamzah Wasal
Hamzah wasal ialah hamzah yang ditetapkan (dibaca) ketika memulakan bacaan bagi sesuatu perkataan dan tidak dibaca ketika bacaan bersambung. Manakala pada resam pula hamzah wasal wujud pada semua keadaan sama ada wasal atau wakaf dengan diletakkan kepala sad ( )di atas alif.

Kedudukan hamzah wasal terletak pada dua keadaan ;
i. Terletak pada kata nama (isim) ii. Terletak pada kata kerja (fi‘il)
Bagi menentukan baris hamzah wasal pula perlu dilihat dari dua sudut ;

1. Bagi hamzah wasal yang terletak pada kata nama ( اسم ) ;
Jika terdapat lam ta’rif maka hamzah wasal dibariskan dengan baris atas.
Di dalam al-Fatihah, kalimah-kalimah berkenaan adalah seperti berikut ;
Jika tiada lam ta’rif maka hamzahnya dibariskan dengan baris di bawah.

2. Bagi hamzah wasal yang terletak pada kata kerja ( فعل ) , penentuan baris hamzah wasal itu bergantung pada huruf ketiga.
Huraiannya adalah sepeti berikut ; Jika huruf ketiga berbaris atas atau bawah, maka hamzah wasal itu dimulakan dengan baris bawah seperti ;

Jika huruf ketiga berbaris hadapan yang asal maka hamzah wasal dimulakan dengan baris hadapan seperti ;

Jika huruf ketiga berbaris hadapan yang mendatang (‘aridh), maka hamzah wasal dimulakan dengan baris bawah. Ini kerana asal baris hamzah tersebut berbaris bawah, maka sewajarlah hamzah wasal itu dimulakan dengan baris bawah seperti ;

(a) Surah Yunus : 71 Asalnya :
(b)Surah al-Hijr : 65 Asalnya : (c) Surah al-Kahf : 21 Asalnya : (d) Surah Toha : 64 Asalnya :
(e) Surah Sod : 6 Asalnya :

6. Penutup
Dengan kupasan hukum tajwid yang terdapat dalam al-Fatihah, diharap para peserta dapat menjadikan ia sebagai skill apabila melangkah masuk ke surah-surah yang lain. Perlu dinyatakan di sini, penjelasan hukum tajwid dalam al-Fatihah yang terkandung dalam kertas kerja ini belum komprehensif kerana masih banyak lagi hukum tajwid yang tidak dikupas seperti makhraj huruf, sifat huruf dan hukum wakaf. Walaubagaimanapun setengahnya disentuh melalui bacaan al-Fatihah secara amali.

p/s : kertas kerja ini masih belum siap sepenuhnya. Contoh-contoh belum dimasukkan lagi.

[1] Salah satu nama bagi surah al-Fatihah. [2] Firman Allah s.w.t: al-Muzzammil : 4 ; " ورَتِّل القرأنَ ترْتيلاً " Maksudnya : “ Dan bacalah al-Quran secara tartil (tajwid)” [3] Sabda Rasulullah s.a.w :" "إن الله تعالى يُحِبُّ أن يُقْرَأ القُرآنُ غَضًّا كَما أُنْزِلَ Maksudnya : “Sesungguhnya Allah Ta’ala menyukai hambaNya yang membaca al-Quran bertepatan sebagaimana di diturunkan”-Riwayat Ibnu Khuzaimah. [4] Hamzah wasal ialah hamzah tambahan yang terletak di awal kalimah yang dtetapkan ( dibaca ) ketika memulakan bacaan dengannya dan gugur apabila dibaca sambung dengan kalimah sebelumnya. Lihat Taisir al-Rahman Fi al-Tajwid al-Quran hlm : 264, Dar al-Taqwa, Shoubra al-Khimah, Mesir. [5] Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imran : 125 dan Nuh :12. [6] Huruf mad ada tiga : Alif sebelumnya berbaris atas, wau sebelumnya berbaris hadapan dan ya’ sebelumnya berbaris bawah. [7] Jika dibaca wasal dengan ayat berikutnya. [8] Jika dibaca wasal dengan ayat berikutnya. [9] Jika dibaca wasal dengan ayat berikutnya. [10] Jika dibaca wasal dengan ayat berikutnya. [11] Jika dibaca wasal dengan ayat berikutnya. [12] Jika diwakafkan padanya. [13] Jika dibaca wasal dengan ayat berikutnya. [14] Jika diwakafkan padanya. [15] Jika dibaca wasal dengan ayat pada surah berikutnya. [16] Ulama’ qurra’ berbeza pendapat dalam membahagikan jenis-jenis Mad Far‘ie. Ada yang membahagikan kepada 14, 16, sehingga ada juga yang membahagikan kepada 34 jenis.Lihat Nihayat al-Qaul al-Mufid, karangan Syaikh Muhammad Makki Nasr al-Juraisi, hlm : 192, Maktabah al-Safa, 1999, Kaherah, Mesir. [17] Dinamakan Lazim kerana kewujudan sebab bagi mad iaitu huruf mati tetap ada sama ada ketika wasal atau waqaf. [18] Dinamakan Kalimi kerana kedudukan huruf mati yang asli selepas huruf mad itu terletak di dalam satu kalimah. [19] Dinamakan Muthaqqal kerana adanya tasydid. [20] Huruf Hija‘iyyah ada 29 huruf tidak termasuk Lam Alif ( لا ) kerana sepakat ulama’ mengatakan bahawa Lam dan Alif adalah gabungan dua huruf iaitu Lam dan Alif. Walaubagaimanapun di sini penulis hanya menyatakan 28 huruf hija‘iyyah sahaja kerana pada hukum mim mati tidak kedapatan ianya bertemu dengan huruf alif. [21] Dinamakan izhar menunjukkan mim mat dinyatakan apabila bertemu dengan selain huruf ba’ dan mim. [22] Dinamakan syafawi pula dinisbahkan kepada huruf mim yang keluar daripada dua bibir mulut. [23] Tanwin ialah lafaz ( suara ) nun mati yang terdapat di akhir kata nama ( isim ). [24] Berjumlah 28 huruf tidak termasuk huruf alif kerana alif tidak menerima baris sedangkan hukum ini terjadi apabila nun mati atau tanwin bertemu dengan huruf yang berbaris.

Tuesday, September 15, 2009

Latar Belakang Al Tartil Centre

Oleh : Pengurus Al Tartil Centre


Al Tartil Centre merupakan pusat pengajian yang menawarkan kelas pengajian al-Quran dan fardhu ain untuk kanak-kanak dan kelas Talaqqi Qiraat al-Quran kepada golongan dewasa. Al Tartil Centre juga aktif dalam penganjuran seminar, motivasi dan bengkel keagamaan Islam.

Mula ditubuhkan pada 27 Jun 2004. Namun ketika itu, Al Tartil Centre yang tidak mempunyai pusat pentadbiran khusus, tampil dengan penganjuran Seminar Pengukuhan al-Fatihah yang dilaksanakan secara bersama oleh tiga orang pensyarah daripada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ). Mereka terdiri daripada al-Fadhil Ustaz Mohd Azhar Abdullah, al-Fadhil Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim dan al-fadhil Ustaz Muhammad Amiri Ab.Ghani iaitu suami kepada Pengurus Al Tartil Centre. Hasil gandingan daripada tiga pensyarah ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing (fiqh, jampi, tasauf, Ilmu Qiraat, tajwid, Ilmu Tarannum asli dan murattal dan motivasi ), Seminar Pengukuhan al-Fatihah telah diadakan di serata tempat khususnya di masjid-masjid dalam negeri dan luar negeri termasuk Singapura.

Pada 27 Febuari 06, dengan izin Allah s.w.t Al Tartil Centre dapat melangkah setapak kehadapan setelah mempunyai bangunan yang disewa bagi menawarkan kelas pengajian al-Quran dan Fardhu ain kepada kanak-kanak tempatan. Permulaannya Al Tartil Centre hanya mempunyai belasan pelajar sahaja sepanjang 2006. Jika atas asas perniagaan semata-mata, Al Tartil Centre sudah tentu bernafas hanya untuk beberapa bulan sahaja memandangkan terpaksa menampung kos sewa bangunan yang melepasi pendapatan jumlah bayaran yuran yang dikenakan ke atas pelajar. Namun, pihak Al Tartil Centre yakin jika kita ikhlas untuk menyebarkan ilmuNya dan menyumbangkan kebaikan kepada umat Islam serta berbekalkan kesabaran dalam apa jua urusan insya Allah, Dia akan memudahkan segala urusan kita dan Dia akan menggantikan yang lebih baik kepada kita. Alhamdulillah, akhirnya Al Tartil Centre masih dapat beroperasi dengan menguruskan ratusan pelajar kini.

Semenjak beroperasi berpusat di Machang sehingga kini ( September 09 ) sebanyak 17 program yang telah dianjurkan oleh Al Tartil Centre. Program-program tersebut adalah :

1. Bengkel Penulisan Jawi Dan Khat ( B-JAK ) (1,2,8,9 dan 10 Disember 2006 )

2. Kem Tahfiz Surah-surah Pilihan ( 11-15 Mac 2007 )

3. Seminar Pengukuhan Al-Fatihah : Amali Dan Penghayatan Kontemporari ( 1 April 2007 )

4. Kem Bestari Solat, Hafazan Dan Kenali Bahasa Arab (26-29 Nov 2007 )

5. Kursus Pengajaran Dan Pembelajaran Jawi Kaedah Terkini ( 5 & 12 Januari 2008 )

6. Gema Maulidurrasul Alaf Digital ( 29 Mac 2008 )

7. Kursus Pemantapan Ilmu Tajwid - Siri 1 ( 19 Mei 2008 )

8. Kem Bahasa ( Bahasa Arab, Bahasa Inggeris Dan Bahasa Cina ) ( 25-27 Mei 2008 )

9. Kursus Pemantapan Ilmu Tajwid - Siri 2 ( 19 Julai 2008 )

10. Kursus Bahasa Al-Quran ( 3 Modul ) ( 2008 - 2009 )

11. Kursus Pemantapan Dan Penghayatan Surah Yaasiin ( 3 Januari 2009 )

12. Kursus Hayya Bilughatil Quran ( 3 Modul ) ( 2009 - 2010 )

13. Kursus Kesempurnaan Solat ( 6 Jun 2009 )

14. Kem Remaja Muslim ( 9 - 10 Jun 2009 )

15. Bengkel Ilmu Resam Uthmani ( 18 Julai 2009 )

16. Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy ( 5 September 2009 )

17. Motivasi Alaf Digital ( Program 2 bulan sekali ) secara percuma kepada pelajar Al Tartil Centre

Pihak Al Tartil Centre mengharapkan doa daripada muslimin dan muslimat terutama pengunjung blog ini agar Al Tartil Centre terus mara ke hadapan dengan membawa misi "Bersama Membina Generasi Al-Quran". Mudah-mudahan Al Tartil Centre dapat memperbanyakkan lagi program yang bermunafaat kepada umat Islam. Pihak kami juga sudi menerima apa jua bentuk bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak yang dermawan serta bermurah hati bagi melicinkan lagi pengurusan pihak Al Tartil Centre dalam mengatur pelbagai program lagi. Bagi sesiapa yang ingin menyumbangkan secara ikhlas bolehlah terus ke pejabat Al Tartil Centre, Machang atau boleh menyalurkan terus atas nama Al Tartil Centre, akaun BIMB: 03045010024283. Semoga Allah memberkati dan melimpahkan rezeki kepada tuan/puan muslimin dan muslimat yang berkongsi dalam membina generasi al-Quran.

Sunday, September 13, 2009

AL-FATIHAH : SATU PENJELASAN TERHADAP 30 AL-LAHN DALAM PEMBACAAN MASYARAKAT UMUM

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani

Penasihat Al Tartil Centre

Al-Quran satu nama yang mencerminkan salah satu tujuan ianya diturunkan iaitu untuk dibaca kerana al-Quran itu sendiri memberi erti “ yang dibaca ”. Meskipun begitu, pembacaannya mestilah berdasarkan neraca dan kaedah sebagaimana diturunkan iaitu bertajwid dan mengelakkan daripada berlaku al-lahn dalam bacaan. Justeru itu, kertas kerja ini memberi penjelasan terhadap kewajipan tahsin ( mengelokkan ) bacaan, penjelasan terhadap pengertian al-lahn, bahagiannya dan hukumnya dari kaca mata ahli qurra’, dan penjelasan terhadap beberapa kesalahan dalam bacaan masyarakat tumpuan pada surah al-Fatihah. Penulis hanya menumpukan 30 lahn popular sahaja meskipun hakikat kedapatan lahn lebih daripada jumlah tersebut.

2. Kewajipan Mentajwid Bacaan Al-Quran

Satu fakta tidak dapat disanggah lagi, pembacaan al-Quran wajib dibaca secara bertajwid berdasarkan perintah Allah s.w.t yang bermaksud ;
“ Bacalah al-Quran itu dengan tartil ”[1]

Maksud Tartil dalam ayat di atas ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Saidina Ali r.a ;
" الترتيل : تجويد الحروف ومعرفة الوقوف "
“ Memperelokkan sebutan huruf dan mengetahui tempat-tempat waqaf“ [2]

Demikian juga, penegasan yang diutarakan oleh Ibnu al-Jazari di dalam qasidahnya[3] :

وَالأخْذ ُ بـِالتـَّجْويدِ حَتـْمٌ لازِمُ مَــن لـَّـمْ يُــجَوِّدِ القُرْآنَ آثِـمُ
لأنـَّـهُ بِهِ الإِلـَـهُ أنــْـزَلا وَهَـــكـَذا مِنْهُ إلـــيْنـَا وَصَلا

Pengambilan ( Pembacaan al-Quran ) secara bertajwid adalah satu kemestian.
Berdosalah sesiapa yang tidak mengelokkan ( bacaan ) al-Quran.
Kerana sesungguhnya ( al-Quran ), Allah turunkan dengan bertajwid .
Dan begitulah ( al-Quran ) daripadaNya sampai kepada kita.
3. Pengertian Al-Lahn

Dari sudut bahasa, lahn mempunyai banyak pengertian[4]. Walaubagaimanapun maksud lahn di sini ialah melencong daripada mengelokkan bacaan dan tersasar daripada yang sebetulnya [5].

4. Bahagian Al-Lahn

Al-lahn terbahagi kepada dua bahagian : Jaliy ( جلي ) dan Khafiy ( خفي )

Lahn Jaliy : Kesalahan yang berlaku pada sebutan lafaz-lafaz yang mencacatkan neraca bacaan, dan mencacatkan bahasa dan i’rab sama ada berubah makna atau tidak.
Misalnya : Seorang pembaca mengubah sebutan huruf " ط " kepada " ض ", " ذ " kepada " ز " , " ث " kepada " س " dan seumpamanya.

Kadang-kala berlaku pada baris kalimah sama ada di awal kalimah, tengah kalimah atau di akhirnya seperti menjadikan baris atas kepada baris bawah, baris hadapan kepada baris atas atau menjadikan salah satu baris ini kepada mati atau seumpamanya. Sama ada kesalahan ini merubahkan makna seperti menukarkan baris atas huruf ta’ kepada baris hadapan kalimah " أنعمت " pada firman Allah s.w.t " صِراطَ الذينَ أنعمتَ عَـلَـيْهِـمْ "
Atau tidak merubahkan makna seperti menukar baris bawah huruf ha’ kepada baris hadapan lafz al-Jalalah " الله " pada firman Allah " بسم اللهِ الرحمن الرحيم"

Jenis ini haram pada syara’ dan berdosa kepada mereka yang sengaja. Sekiranya lupa atau jahil maka tidak haram[6].

Dinamakan Jaliy bagi jenis ini kerana kesalahan itu jelas dan diketahui umum sama ada dari kalangan qurra’ atau selain mereka.

Kesimpulannya bentuk Lahn Jaliy ada tujuh :

1. Bertukar huruf.
2. Mematikan huruf yang berbaris.
3. Membariskan huruf yang mati.
4. Memanjangkan baris yang menerbitkan huruf mad.
5. Menghazaf ( membuang ) huruf mad.
6. Meringankan huruf yang bersabdu.
7. Mentasydidkan huruf yang tidak bertasydid.

Lahn Khafiy ( halus ) : Merupakan satu kesalahan yang berlaku pada sebutan yang mencacatkan kaedah tajwid dan tidak mencacatkan bahasa, i’rab dan makna seperti mengizharkan apa yang wajib diidghamkan atau sebaliknya, atau mengikhfa’kannya, menipis apa yang wajib ditebalkan dan sebaliknya, memanjang apa yang ditentukan qasar dan sebaliknya dan lain-lain kesalahan yang menghilangkan kaedah yang disusun oleh para ulama’ Qiraat dan yang diletakkan tanda baris oleh imam al-ada’.

Dinamakan jenis ini Khafiy kerana kesalahan ini tidak akan diketahuinya selain qurra’.

Jenis ini menurut pendapat al-Birkawi[7] dalam syarahnya ke atas al-Dur al-Yatim : “ Haram perubahan ini kesemuanya kerana sekalipun tidak merubahkan makna tetapi mencacatkan lafaz yang merosakkan keindahan dan kehebatan al-Quran dan melenyapkan keelokan dan kecantikannya “[8].

Setengah ulama’ pula seperti Syaikh Mulla ‘Ali Qari’ menghukumnya sebagai berkata :“ Tidak syak lagi memelihara bacaaan daripada lahn khafiy ini bukan termasuk daripada kategori farhu ain yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat azab seksaaan amat pedih. Walaubagaimanapun pemeliharaan bacaan daripada lahn khafiy itu bertujuan untuk mengelak daripada mendapat celaan dan amaran[9] ”.

5. Antara Al-Lahn Yang Berlaku Dalam Bacaan Fatihah ;

Hasil penelitian dan kajian penulis daripada kitab “al-Madkhal Ila Fann al-Ada’ “[10] dan daripada bacaan individu yang memperdengarkan bacaan kepada penulis, maka terhimpunlah 30 al-lahn yang dikategorikan sebagai Khafiy dan Jaliy untuk perhatian para pembaca al-Quran semua ;

1. Tidak menyebut sesuatu huruf yang berbaris secukupnya : Perkara ini biasanya berlaku di awal huruf kalimah-kalimah berikut ;
بسم ، اهدنا ،صراط

2. Melebihi kadar mad yang sepatutnya : Perkara ini biasanya berlaku pada hukum Mad Asli yang sepatutnya dibaca dua harakat sahaja.

3. Memanjangkan huruf yang tidak terdapat huruf mad[11]

4. Menggetarkan lidah ketika menyebut huruf ra’: Huruf ra’ bersifat dengan takrir (berulang-ulang), walaubagaimanapun ditegah daripada membacanya dengan sifat itu terutama ra’ yang bertasydid[12].

5. Menahan suara sebelum menyebut huruf " ر " sehingga melahirkan huruf " ط "ketika membaca " بسم الله الرَّحمن "

6. Sengaja serakkan suara atau menggaraukan suara ketika menyebut huruf "ح" sehingga bertukar kepada "ع".

7. Menzahirkan qalqalah[13] pada huruf mati yang bukan bersifat dengannya.
8. Memanjangkan suara ketika menyebut " يَـوْمِ " pada ayat : 4 sehingga terjadi Mad Lin yang hanya wujud ketika waqaf sahaja.

9. Menebalkan sebutan huruf ya’ yang berbaris atas pada kalimah " يَوْمِ "

10. Tidak mentasydidkan pada huruf yang bertasydid : Jumlah huruf bertasydid di dalam al-Fatihah ialah 14 huruf. Kesalahan yang nyata merubahkan makna ialah pada kalimah ( إيَّاكَ ) sekiranya dibaca tanpa mentashdidkan huruf ya’ maka maknanya ialah “ cahaya matahari ”[14].

11. Menahan suara pada ya’ bertasydid ketika membaca " إيَّاكَ " sehingga melahirkan huruf " ج "
12. Melampau pada sebutan huruf " ك " sehingga bertukar menjadi " ق "
13. Menebalkan sebutan huruf nun yang berbaris atas pada kalimah " نَعْبُدُ "

14. Mematikan ‘ain " ع " secara kemas dan keras pada " نَعْبُدُ " sedangkan ianya bersifat Tawassut[15] ( pertengahan ) antara syiddah[16] dan rakhawah[17].
15. Melampau menyebut bunyi baris hamzah wasal pada " اهْدِنـَا "

16. Menipiskan sebutan huruf " ط " pada kalimah " الصّرَاطَ، صِرَاطَ "

17. Memasukkan sin ke dalam ta’ pada kalimah مُسْتَقِيمَ → مُتَّقِيمَ.

18. Terlampau menebalkan huruf qaf" ق " yang berbaris di bawah : Huruf qaf adalah daripada huruf yang bersifat isti’la’ yang perlu dibaca dengan tebal. Walaubagaimanapun apabila ianya berbaris di bawah tahap ketebalannya terbawah sekali iaitu pada martabat kelima[18] ;

19. Melampau pada sebutan huruf "ع" sehingga bertukar baris atas kepada hadapan[19]: Biasanya berlaku ketika menyebut kalimah ( أنْعَمْتَ ) .

20. Menyebut huruf ‘ain " ع " bukan pada makhrajnya sehingga bertukar huruf tersebut kepada huruf hamzah : Kesalahan ini terjadi ketika menyebut kalimah " أنْعَمْتَ "

21. Menipiskan sebutan huruf ghain " غ " pada kalimah " غَـيْرِ " .

22. Menebalkan sebutan huruf mim yang berbaris atas pada " المَغْضُوبِ"

23. Menipiskan sebutan huruf " ض " pada " المَغْضُوبِ ، الضَّآلّينَ ".

24. Mengidghamkan ( memasukkan ) huruf mim" م " ke dalam wau" و " pada;

25. Menukarkan sebutan huruf " ذ " kepada " ز " : Kesalahan ini terjadi apabila meletakkan lidah tidak pada makhrajnya.

26. Tidak cukup kadar harakat Mad Lazim[20] Kalimi[21] Muthaqqal[22] yang sepatutnya dibaca 6 harakat iaitu pada : الضّالين

27. Tidak seragam pada kadar mad : Ketidakseragaman ini biasanya berlaku pada Mad ‘Aridh Lissukun[23].

28. Melampau sebutan pada huruf yang berbaris di atas sehingga berbunyi kedaerahan sekali gus melenyapkan fasohah dalam bacaan.

29. Menyembunyikan huruf nun " ن " ketika waqaf. pada kalimah yang berakhir dengannya seperti kalimah yang terletak di akhir ayat kedua, keempat, kelima dan ketujuh.

30. Memanjangkan suara ketika waqaf pada nun atau mim yang tidak bertasydid sehingga terjadi ghunnah.

Kesimpulan

Lahn satu kecacatan yang boleh menjejaskan kesahan bacaan al-Fatihah yang memberi implikasi pada solatnya. Pemerhatian dan kemahiran tahsin al-Fatihah amat penting bagi memastikan al-Fatihah itu benar-benar dibaca seperti mana ia diturunkan. Sikap mempermudahkan dan pandang remeh terhadap tahsin al-Fatihah melambangkan sikapnya terhadap keseluruhan bacaan al-Quran. Sikap seumpama ini tidak wajar berada dalam keperibadian Islam.والله أعلم

[1] Al-Muzammil : 4
[2] Ibnu al-Jazari, Al-Nasyr, Jld 1, hlm :209.
[3] Ibnu al-Jazari, Toyyibatu al-Nasyr Fi al-Qiraat al-‘Asyr , hlm: 36, Maktabah Dar al-Huda, Madinah 1994 .
[4] Antara maknanya : Al-Lughah ( bahasa ), al-Ghina’ ( lagu ),al-Khata’ ( salah ), lahjah. Sila lihat Lisan al-‘Arab, Jld 13, hlm 379 – 382, Dar al-Fikr, Beirut, 1990.
[5] Mahmud al-Husriy, Ahkam Qiraat al-Quran al-Karim, hlm : 21, Syarikat al-Syamarli, Kaherah, 1970
[6] Ibid, hlm 22.
[7] Seorang pakar bahasa, farai’dh dan tajwid.
[8] Pendapat ini dipegang juga oleh Syaikh Nasiruddin al-Tablawi daripada ulama’ al-Syafi’iyyah .
[9] Lihat al-Manh al-Fikriyyah Fi Syarh al-Jazariyyah.
[10] Karangan Dr. Abdul Ghafur Mahmud Mustafa Ja’far, 1994.
[11] Huruf mad ada tiga iaitu " ا، و، ي "
[12] Sila lihat al-Muqaddimah al-Jazariyyah, Syamsuddin bin Muhammad bin Muhammad al-Jazariy al-Syafi‘i.
[13] Huruf yang bersifat qalqalah hanyalah lima sahaja iaitu : " ق، ط، ب، ج، د "
[14] Lihat Lisan al-‘Arab, Juzu’ 14, hlm 63, Dar al-Fikr, 1990.
[15] Huruf yang berifat tawassut ada 5 iaitu terhimpun dalam ungkapan " لِنْ عُمَرْ "
[16] Huruf yang bersifat syiddah ( suara mengemas keras ) ialah lapan huruf terhimpun dalam ungkapan " أجِدْ قَط بكت"
[17] Huruf yang bersifat rakhawah(suara melonggar lembut) ialah 16 huruf terhimpun pada ungkapan َّ شّوْصٍ زَيَّ سَاهٍ " " خُذْ غّثَّ حّظَّ
[18] Lihat Nihayat al-Qaul al-Mufid Fi ‘Ilm al-Tajwid , oleh Syaikh Muhammad Makki Nasr al-Juraisiy, hlm : 138, Maktabah al-Safa, Kaherah, 1999
[19] Makna kalimah ini apabila dibaca huruf ‘ain dengan baris atas ialah “ Yang Engkau telah kurniakan nikmat ” tetapi apabila huruf ‘ain dibaca berbaris hadapan, maka berlakulah perubahan makna pada kalimah ini iaitu “ yang Engkau lembutkan ”. Lihat Kursus Qari dan Qari’ah, oleh Abdullah al-Qari bin Hj. Salleh ( ‘Aqhas ), hlm. 141, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, 1996.
[20] Dinamakan lazim kerana huruf mati yang terletak selepas mad ini merupakan mati asal dan menjadi suatu hal yang tetap ( lazim ) baginya pada dua keadaan iaitu wasal dan wakaf ataupun kerana ketetapan ( kelaziman ) madnya dengan kadar 6 harakat di sisi semua qurra’.
[21] Dinisbahkan kepada kalimi kerana kedudukan huruf mati yang asal selepas huruf mad itu terletak dalam satu kalimah.
[22] Dinamakan muthaqqal kerana berat sebutannya disebabkan terdapat huruf bertasydid selepas mad yang asalnya tersusun daripada dua huruf, iaitu huruf pertama mati diidghamkan ( dimasukkan ) ke dalam huruf kedua yang berbaris menjadikannya satu huruf pada tulisan.
[23] Dinamakan sedemikian kerana mad tersebut terjadi disebabkan terdapat huruf mati. Manakala huruf mati itu yang pada asalnya berbaris tetapi dimatikannya kerana wakaf.

Biografi Imam Warsy

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Ab.Ghani
Penyusun Buku " Juzu' 'Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq al-Syatibi"


Nama sebenarnya ialah Uthman bin Sa‘id bin Abdullah bin ‘Amru bin Sulaiman bin Ibrahim al-Misriyy ( المصرى ) al-Muqri’[1]. Dilahirkan pada tahun 110 Hijrah bersamaan 725 Masihi di Qift ( قِفْط ) yang terletak di sebelah selatan Mesir.

Beliau berhijrah ke Madinah dan mempelajari al-Quran daripada Imam Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Nu‘im al-Laithiyy al-Madaniyy yang berasal dari Asfahan dan sempat khatam beberapa kali pada tahun 155 Hijrah. Kemudian beliau kembali ke Mesir.

Ada yang berpendapat bahawa Imam Nafi’ menggelarnya Warsy kerana kulitnyayang sangat putih. Dengan kemahiran dan kefasihan Imam Warsy dalam pembacaan al-Quran, luas pengetahuan dalam Ilmu Tajwid dan fasih dalam bahasa Arab serta keelokan suaranya menambat hati sesiapa sahaja yang mendengar bacaan beliau, melayakkannya menjadi guru besar dalam Ilmu Qiraat di tanah airnya. Seterusnya, bacaan Warsy menjadi masyhur dan diamalkan oleh umat Islam di Mesir untuk beberapa kurun.

Beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 197 Hijrah bersamaan 812 Masihi dalam usia 87 tahun dan dikuburkan di suatu tempat yang dikenali ramai dengan nama Qarafah ( القرافة ) .

Thursday, September 10, 2009

Buku " Juzu’ ‘Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq Al-Syatibi"

Pengarang : Us. Muhammad Amiri b. Ab. Ghani

Tahun Terbit : 2003

Halaman : 72 hlm.

Sinopsis :

Buku ini menghuraikan kaedah pembacaan al-Quran dengan Riwayat Warsy di dalam Juzu’ ‘Amma. Penerangan terhadap kaedah tersebut dalam Bahasa Malaysia dengan gaya bahasa yang mudah difahami yang diterangkan pada setiap surah bermula surah al-Fatihah seterusnya surah al-Naba’ hingga al-Nas membantu pelajar yang bertalaqqi al-Quran dengan riwayat Warsy. Riwayat Warsy ini masyhur dan masih diamalkan pembacaannya di Jazair, Maghribi, Tunisia. Riwayat ini juga merupakan salah satu daripada 20 riwayat mutawatir yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya seperti riwayat Hafs, iaitu bacaan yang masyhur di negara kita.

Kandungan :

1. Kata Pengantar
2. Kata-kata Aluan
3. Secalit Tinta Penulis
4. Biografi Imam Warsy
5. Sanad Riwayat Warsy.
6. Beberapa Tanda Penting Dalam Mushaf Riwayat Warsy.
7. Surah al-Fatihah.
8. Surah al-Naba’ hingga surah al-Nas
9. Hukum Naqal
10.Hukum Mim Jama’
11.Hukum Ra’ Kaedah Pertama
12.Kaedah Ibdal Hamzah Mufrad
13.Hukum Mad Badal
14.Hukum Mad Lin
15.Hukum Ra’ Kaedah Kedua
16.Hukum Dua Hamzah Dalam 1 Kalimah
17.Hukum Zi al-Ya’
18.Hukum Zi al-Ya’ Pada Ra’su al-Ayat
19.Hukum Zi al-Ra’
20.Hukum Zi al-Ya’ Bersambung Dengan Ha’ Dhamir
21.Hukum 2 Hamzah Dalam 2 Kalimah
22.Hukum Kalimah " رأى "
23.Hukum Lam
24.Hukum Bagi Alif Yang Terletak Sebelum Ra’ Berbaris Bawah
25.Hukum Zi al-Ya’ Berhimpun Dengan Mad Badal
26.Hukum Bagi Kalimah " الكافرين "
27.Hukum Ya’ al-Zawa‘id Dan Ya’ al-Idhafah
28.Hukum Bagi Kalimah " أرءيت "
29.Bibliografi

Wednesday, September 9, 2009

Bengkel Qiraat (1): Kaedah Riwayat Warsy

Semasa pedaftaran bengkel di Kelas Pra Al Tartil


Sebahagian daripada peserta muslimin sedang
memberi tumpuan dalam Bengkel Qiraat (1)

Sebahagian daripada peserta muslimat
dalam Bengkel Qiraat (1)

Program Bengkel Qiraat (1) Berlangsung Dengan Jayanya

Alhamdulillah, pada 5 September 09 ( Sabtu ), program Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy berjalan dengan lancar. Seramai 40 orang menyertai program tersebut yang terdiri daripada pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat, Guru-guru al-Quran daripada Mahaad Tahfiz Sains, Mahasiswa IPTS tempatan, pelajar menengah, pencinta dan peminat ilmu al-Quran.

Pembentangan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Amiri bin Ab. Ghani, Pensyarah KIAS selama 3 jam bermula jam 9 pagi hingga 12 tgh, dengan tayangan slide dan penerangan yang jelas memudahkan para peserta memahami kaedah Riwayat Warsy ditambah dengan mempraktikkan secara langsung kaedah-kaedah yang dibincangkan dalam bengkel tersebut.

Menurut al-Fadhil Ustaz, pembentangan kertas kerja dalam masa 3 jam itu Insya Allah, para peserta mampu membaca Juzu' 'Amma menurut Riwayat Warsy dengan penambahan sedikit pengetahuan tentang Farsy al-Huruf yang terkandung dalam Juzu' ketiga puluh itu.
Insya Allah, al Tartil Centre merancang untuk menganjurkan sekali lagi program seperti ini dengan pembentangan kaedah riwayat yang lain pula. Ini berikutan dengan permintaan ramai daripada peserta yang mengikuti program tersebut.

Pihak al Tartil Centre mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudari yang hadir menjayakan program tersebut dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn Zumurni, wartawan Sinar Harian yang tidak ketinggalan menghebahkan kepada orang ramai berhubung dengan program tersebut.

Buat pengunjung blog ini, di sini Al Tartil Centre memasukkan sebahagian daripada kandungan kertas kerja pembentangan oleh Ust Muhammad Amiri. :-

¨Allah s.w.t yang menciptakan bangsa Arab ini terdiri daripada pelbagai kabilah dan setiap kabilah itu mempunyai dialeknya tersendiri. Maka menjadi lambang kasih sayang Allah terhadap hambaNya, Dia memberi kelonggaran kepada mereka yang mengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w membaca al-Quran itu dengan dialek dan bahasa kabilah itu sendiri sebagaimana yang diturunkan kepada RasulNya s.a.w.

AL-QIRAAT; Kepelbagaian Bacaan قِرَاءَةٌ ، قِرَاءَتَانِ ، قِرَاءَاتٌ Ibnu al-Jazariy mendefinisikan Qiraat sebagai:“Suatu ilmu yang membicarakan tentang cara penyebutan kalimah-kalimah al-Quran dan perselisihannya yang dinisbahkan kepada yang menaqalkannya (memindahkannya iaitu para Imam qurra’’) ¨Manakala takrif daripada Al-Sabuniy : ¨“Qiraat ialah suatu mazhab daripada beberapa mazhab dalam kaedah pembacaan al-Quran yang masing-masing (setiap daripada imam qiraat ) daripada ulama qurra’ memilih satu kaedah yang berbeza berhubung dengan penyebutan (penuturan) ayat al-Quran al-Karim dan ianya bersambung dan sabit (tetap) dari sudut sanadnya hingga kepada Rasulullah s.a.w.

BAB PERTAMA Farsy al-Huruf ; Tiap-tiap lafaz al-Quran yang berlaku khilaf di kalangan qurra’ dari segi bacaannya. Farsy al-Huruf tidak dikategorikan di bawah mana-mana bab usul kerana perubahan ini berlaku sedikit sahaja di dalam mushaf Uthmani. Misalnya dalam surah al-Fatihah: 4, Mim dibaca dengan tanpa mad bagi riwayat Warsy. -----------------------------------------------------------------------------------------------* Kandungan selanjutnya sila dapatkan kertas kerja ini di Al Tartil Centre, Machang.

Friday, August 21, 2009

‘ BENGKEL QIRAAT (1) : KAEDAH RIWAYAT WARSY

Saidina Uthman bin ‘Affan meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda ; "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya".

Ilmu al-Quran terlalu luas. Masih banyak yang boleh diterokai. Salah satu ilmu yang masih lagi tidak diperluaskan dan diperkembangkan ialah ilmu Qiraat. Masyarakat Islam masih ramai lagi tidak mengetahui tentang kewujudan kepelbagaian bacaan al-Quran atau disebut sebagai Qiraat. Bahkan setengah daripada mereka tidak dapat menyatakan bacaan al-Quran yang dibaca oleh umat Islam khususnya di Malaysia adalah menurut Riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim. Apakah yang dimaksudkan dengan riwayat? Siapakah dia Imam Hafs ? apa kaitannya dengan al-Quran ? persoalan-persoalan sedemikian masih terbelenggu dalam pemikiran masyarakat awam. Justeru, Al Tartil Centre menganjurkan Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy , dalam usaha untuk mengenengahkan ilmu Qiraat kepada masyarakat sekitar yang berminat untuk mengetahui ilmu berkaitan dengan Qiraat sekali gus menambah pengetahuan dalam bidang Ilmu Tajwid al-Quran. Semoga penganjuran program ini mencapai objektif dan penyertaan muslimin muslimat dalam program tersebut mudah-mudahan mendapat keredhaan Allah dan diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda sempena bulan yang Mulia Ramadhan al-Mubarak.

Butiran bengkel adalah sebagaimana berikut :
Tarikh : 5 September 2009
Hari : Sabtu
Masa : 9.00 pg – 12.00 tgh
Tempat : Dewan Al Tartil
Pembentang : Ustaz Muhammad Amiri bin Ab. Ghani
Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ),
Nilam Puri.
Penyusun Kitab “ Juzu’ ‘Amma Menurut Riwayat Warsy
Tariq al-Syatibiyy”
Yuran Penyertaan: RM 15.00 sahaja.
DAFTAR SEGERA!! UNTUK PENDAFTARAN CLICK COMMENT DAN SILA TAIPKAN NAMA, NO IC SERTA NO TELEFON ANDA.SIJIL PENYERTAAN AKAN DIBERI KEPADA SETIAPPESERTA BENGKELTEMPAT TERHAD!!

Biografi Imam Qalun Al-Madani

Daripada buku "Nafahat Al-Jinan Fi Usul Riwayat Qalun Al-Madani" susunan Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani


Nama sebenar Imam Qalun ialah ‘Isa bin Mina bin Wardan bin Isa bin Abdul Samad bin Umar bin Abdullah al-Zuraqi[1] al-Madani[2]. Beliau merupakan seorang yang alim dalam bahasa Arab dan bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu itu kepada umat Islam yang lain. Moyangnya ialah salah seorang daripada tawanan perang pada zaman khalifah yang kedua Umar bin al-Khattab[3].

Imam Qalun dilahirkan pada tahun seratus dua puluh hijrah ( 120H ) pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Beliau bukan sahaja menjadi anak tiri kepada Imam Nafi’ iaitu seorang yang alim dalam qiraat bahkan merupakan salah seorang murid dan perawinya pada zaman al-Mansur.

Diriwayatkan bahawa gurunya Imam Nafi’ menggelarnya Qalun kerana perkataan Qalun itu berasal dari pertuturan bangsa Rom bermaksud “ Jayyid ” iaitu baik[4]. Gelaran ini bertepatan bagi Imam Qalun kerana keelokannya dalam pembacaan al-Quran al-Karim yang melayakkan beliau diangkat sebagai qari Madinah.

Menurut sejarah, ketekunan beliau dalam bertalaqqi al-Quran daripada Imam Nafi’ amat dikagumi kerana beliau sempat mengkhatamkannya beberapa kali sepanjang 20 tahun beliau berguru dengan Imam Nafi’ bermula tahun seratus lima puluh hijrah (150H) sehingga Imam Nafi’ pernah bertanya kepadanya :
“ Sampai bilakah engkau ingin mempelajari al-Quran daripada aku? Duduklah di tiang seri sana sehingga aku hantar orang lain mempelajari al-Quran daripadamu ”.

Ucapan ini sebenarnya merupakan satu pengiktirafan daripada gurunya terhadap imam Qalun bahawa beliau telah layak menjadi guru dan berkebolehan mengajar al-Quran kepada orang lain.

Imam Qalun mengambil bacaan daripada Imam Nafi’ yang diambil daripada Imam Abi Ja’far dan bacaan yang dipilih oleh Imam Nafi’ sendiri[5]. Imam Qalun juga mengambil bacaan daripada Isa bin Wardan al-Hiza’.

Imam Qalun walaupun seorang yang pekak sehingga tidak dapat mendengar bunyi terompet tetapi apabila al-Quran dibacakan kepadanya, beliau mendengar dan dapat pula memperbetulkan kesalahan dengan memerhati kepada mulut pembaca tersebut[6].

Riwayat Qalun adalah satu riwayat mutawatir yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya seperti riwayat Hafs[7] iaitu bacaan yang masyhur di negara kita. Manakala riwayat Qalun ini pula masyhur di Timur Afrika khususnya di setengah tempat di Tunisia dan Mesir dan juga masyhur di Libya[8].

Imam Qalun menghembus nafasnya yang terakhir di Madinah pada tahun dua ratus dua puluh hijrah ( 220 H ) mengikut pendapat yang sahih[9] pada zaman Khalifah al-Ma’mun.



[1] Al-Zubaydi, Al-Syaikh Uthman bin Umar Abi Bakr, Syarh al-Imam al-Zubaidi : hlm . Manakala di dalam kitab Syarh Risalah Qalun karangan al-Syaikh ‘Ali Muhammad al-Dhaba’, Qalun ialah : Isa bin Mina bin Wardan bin Isa bin Abdul Rahman bin ‘Amr bin Abdullah al-Rizq.
[2] (عيسى بن مينا بن وردان بن عيسى بن عبد الصمد بن عمر بن عبد الله الزرَقى المدني)
[3] Ibid, hlm 518.
[4] al-Qadhi, Al-Syaikh Abdul Fattah, Syarh al-Sir al-Masun Fi Riwayat Qalun, hlm : 7.
[5] Maksud “ bacaan yang dipilih oleh Imam Nafi’ sendiri ” ialah memilih bacaan yang paling masyhur di antara bacaan-bacaan yang dipelajari daripada guru-gurunya dan bacaan yang paling banyak periwayatnya. Sebagai contoh, Imam Nafi’ mempelajari qiraat daripada ramai orang guru sehingga mencapai 70 orang dari kalangan tabi ‘in, akan tetapi beliau tidak membaca kesemua yang diambil daripada gurunya itu bahkan katanya : “ Aku meneliti pada tiap-tiap bacaan yang disepakati oleh dua orang dari kalangan mereka lalu aku mengambil bacaan tersebut, dan mana-mana bacaan yang menyalahi salah seorang dari kalangan mereka aku tinggalkan sehingga aku susun bacaan ini di dalam huruf-huruf ini ”. Lihat Safahat Fi ‘Ulum al-Qiraat, karangan Dr. Abdul Qayyum bin Abdul Ghafur al-Sindiy, hlm : 187.
[6] Abi Zar‘ah, Abdul Rahman bin Muhammad Zanjalah, Hujjatu al-Qiraat, hlm:52.
[7] Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi ( 90H - 180H )
[8] Ibid, hlm 66.
[9] Ibid.


Pelajar Pra Al Tartil Centre 5 - 6 tahun
bersama dua orang ustazah mereka Sesi 2008

Thursday, August 20, 2009

KEPELBAGAIAN QIRAAT MUTAWATIR DALAM AL-FATIHAH :SATU PENJELASAN DARI SUDUT TEORI DAN AMALI

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani
amirighani@yahoo.com

Pembentangan kertas kerja ini ialah bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap satu ilmu yang agak malap dari segi perkembangannya pada alaf ini sedangkan ilmu tersebut berkait rapat dengan al-Quran al-Karim. Ilmu yang dimaksudkan ialah Ilmu Qiraat yang akan dikupaskan di dalam kertas kerja ini secara teori dan praktikal bacaan al-Fatihah dengan kepelbagaian qiraat.

2. Al-Qiraat ( Kepelbagaian Bacaan )
Qiraat dari segi bahasa bermaksud : Kepelbagaian bacaan. Manakala dari segi istilah pula ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu al-Jazari : “Qiraat ialah satu ilmu yang membicarakan tentang cara untuk menuturkan kalimah-kalimah al-Quran al-Karim dan kepelbagaiannya serta disandarkan kepada penaqalnya (Imam Qiraat)[1]”.

3. Hikmah Penurunan Al-Quran Dengan Kepelbagaian Qiraat
Kepelbagaian bacaan adalah merupakan satu rahmat daripada Allah s.w.t untuk umat Islam. Allah s.w.t menurunkan al-Quran dengan pelbagai bacaan untuk memberikan kemudahan kepada umat Islam membacanya. Jelasnya, di sebalik hikmah daripada pemberian Allah s.w.t ini ialah membuktikan bahawa baginda Rasulullah s.a.w adalah semulia-mulia makhluk yang mengambil berat kemaslahatan umatnya melalui permintaan baginda yang tidak putus-putus setiap kali Jibril menemuinya dan berkata : “Allah s.w. memerintahkan kamu supaya umatmu membaca dengan satu huruf ”, maka baginda berkata : “Aku memohon keampunan daripada Allah s.w.t, sesungguhnya umatku tidak mampu sedemikian” Setiap kali Jibril datang menambah satu huruf setiap itulah baginda memohon supaya ditambah demi meringankan bebanan umatnya untuk membaca Kitab Allah sehinggalah berkhir penambahan itu dengan tujuh huruf.

4. Dalil Wujud Kepelbagaian Bacaan Al-Quran
Terdapat banyak hadis yang menjadi dalil kepelbagian qiraat dalam al-Quran. Antaranya ialah seperti kisah yang berlaku antara Saidina Umar al-Khattab dengan Hisyam bin Hakim ; Daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya ;

سَمِعْتُ هِشَامَ بْنَ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفُرْقَانِ فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَاسْتَمَعْتُ لِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا هُوَ يَقْرَأُ عَلَى حُرُوفٍ كَثِيرَةٍ لَمْ يُقْرِئْنِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم . فَكِدْتُ أُسَاوِرُهُ فِي الصَّلَاةِ فَتَصَبَّرْتُ حَتَّى سَلَّمَ فَلَبَّبْتُهُ بِرِدَائِهِ فَقُلْتُ مَنْ أَقْرَأَكَ هَذِهِ السُّورَةَ الَّتِي سَمِعْتُكَ تَقْرَأُ قَالَ أَقْرَأَنِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقُلْتُ كَذَبْتَ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَدْ أَقْرَأَنِيهَا عَلَى غَيْرِ مَا قَرَأْتَ فَانْطَلَقْتُ بِهِ أَقُودُهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ هَذَا يَقْرَأُ بِسُورَةِ الْفُرْقَانِ عَلَى حُرُوفٍ لَمْ تُقْرِئْنِيهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَرْسِلْهُ اقْرَأْ يَا هِشَامُ فَقَرَأَ عَلَيْهِ الْقِرَاءَةَ الَّتِي سَمِعْتُهُ يَقْرَأُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَذَلِكَ أُنْزِلَتْ ثُمَّ قَالَ اقْرَأْ يَا عُمَرُ فَقَرَأْتُ الْقِرَاءَةَ الَّتِي أَقْرَأَنِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَذَلِكَ أُنْزِلَتْ إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ أُنْزِلَ عَلَى سَبْعَةِ أَحْرُفٍ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ Daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya : “Aku mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah al-Furqan semasa hidup Rasulullah, maka aku sengaja mendengar bacaannya. Tiba-tiba dia membaca dengan huruf yang banyak ( pelbagai bacaan ) yang tidak pernah Rasullullah membacanya kepada aku. Hampir aku ingin menariknya di dalam solat, namun aku bersabar sehingga dia memberi salam. Selesai salam, aku menarik bajunya sambil berkata:“ Siapakah yang membacakan kepadamu surah yang telah aku dengar engkau bacakan ini ?” Katanya : “Rasulullah s.a.w yang membacakannya kepada aku”. Maka aku(Umar) berkata:“Engkau bohong! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membacanya kepada aku tidak sama dengan apa yang engkau baca ”. Lalu aku membawanya kepada Rasulullah s.a.w dan mengadu : “Sesungguhnya aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan pelbagai huruf yang tidak engkau bacanya kepada aku ”. “ Lepaskan dia wahai Umar!” kata Rasulullah s.a.w.“Baca wahai Hisyam!” Maka Hisyam membaca sebagaimana yang telah aku dengar bacaannya. Baginda pun bersabda: “ Demikianlah ia ( al-Quran ) diturunka ”. Kemudian baginda berkata: “Baca wahai Umar!” Maka aku pun membaca sebagaimana yang dibaca oleh baginda kepada aku. Lalu baginda bersabda : “ Demikianlah ia (al-Quran) diturunkan, sesungguhya al-Quran ini diturunkan dengan Tujuh Huruf, maka bacalah oleh kamu apa yang mudah daripadanya ”
[2].

5. Bacaan Al-Quran Umat Islam Di Malaysia
Umat Islam di Malaysia keseluruhannya membaca al-Quran berdasarkan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim yang merupakan salah satu daripada 20 riwayat mutawatir.

6. Sanad Riwayat Hafs[3]

7. Nama-Nama Imam Qiraat Sepuluh Beserta Perawi Yang Masyhur
1. Imam Nafi’[4]
Perawinya : Qalun[5] dan Warsy[6]
2. Imam Ibnu Kathir [7]
Perawinya : Al-Bazzi[8] dan Qunbul[9]
3. Imam Abu ‘Amr [10]
Perawinya : Al-Duriyy[11] dan Al-Susiyy[12]
4. Imam Ibnu ‘Amir [13]
Perawinya : Hisyam[14] dan Ibnu Zakuan[15]
5.Imam ‘Asim[16]
Perawinya : Syu’bah[17] dan Hafs[18]
6. Imam Hamzah[19]
Perawinya : Khalaf[20] dan Khallad[21]
7. Imam Al-Kisa’i[22]
Perawinya : Al-Laith[23] dan Al-Duriyy[24]
8. Imam Abu Ja’far[25]
Perawinya : Ibnu wardan[26] dan Ibnu Jammaz[27]
9. Imam Ya’kub [28]
Perawinya : Ruais[29] dan Rauh[30]
10. Khalaf al-‘Asyir[31]
Perawinya : Ishaq[32] dan Idris[33]

8. Teori Dan Praktikal Al-Fatihah :
8.1 Riwayat Hafs Daripada ‘Asim


8.2 Riwayat Warsy Daripada Imam Nafi'
8.3 Riwayat Qunbul Daripada Ibn Kathir
8.4 Riwayat Al-Susiyy Daripada Abi 'Amr
8.5 Riwayat Khalaf Daripada Hamzah
1] Ibnu al-Jazari, Munjid al-Muqri’in Wa Mursyid al-Talibin, hlm : 3. Cetakan Kaherah, Maktabah al-Azhariyyah Li al-Turath. [2] Sahih Bukhari, Fadhai’l Al-Quran, bil : 4608, sila lihat juga Sahih Muslim, Solat Al-Musafirin, bil : 1354. [3] Lihat Al-QiraatAhkamuha Wa Masdaruha, Dr. Sya’ban Muhammad Ismail,, hlm : 61, Dar al-Salam, Kaherah, 1986, sila lihat juga Syarh al-Imam al-Zubaidi ‘Ala Matn al-Durrah, Syaikh Uthman bin Umar al-Zubaidi, hlm : 535, Maktabah al-‘Asriyyah, Beirut, 1989. [4] Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Nuim al-Madani ( 70H-169H ). [5] Abu Musa Isa bin Mina bin Wardan ( 120H – 220H ). [6] ‘Uthman bin Sa‘id bin Abdullah ( 110H – 197H ). [7] Abdullah bin Kathir bin ‘Amr bin Abdullah al-Makki al-Dari ( 45H-120H ).
[8] Ahmad bin Muhammad bin Abdullah ( 170H - 250H ) [9] Muhammad bin Abdul Rahman bin Khalid ( 195H – 291H ) [10] Abu ‘Amr Zabban bin al-‘Alla’ bin ‘Ammar bin al-‘Uryan al-Mazini al-Tamimi al-Basri ( 68H-154H ). [11] Abu Umar Hafs bin Umar bin Abdul Aziz ( - 246H ). [12] Abu Syu‘aib Soleh bin Ziyad bin Abdullah bin Ismail al-Susiy ( - 261H ) [13] Abdullah bin ‘Amir bin Yazid bin Tamim bin Rabi’ah bin ‘Amir al-Yahsabi ( 8H-118H ). [14] Abu al-Walid Hisyam bin ‘Ammar bin Basyir bin Maisarah ( 153H – 245H ). [15] Abu ‘Amr Abdullah bin Ahmad bin Basyir bin Zakuan ( 173H – 242H ). [16] Abu Bakr ‘Asim bin Bahdalah Abi al-Najud al-Kufi al-Hannat al-Asadi ( - 127H ) [17] Abu Bakar Syu’bah bin ‘Ayyasy bin Salim al-Kufi ( 95H – 193H ) [18] Abu ‘Amr Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi ( 90H – 180H ). [19] Abu ‘Imarah Hamzah bin Habib bin ‘Imarah bin Ismail al-Zayyat al-Kufi al-Tamimi ( 80H-156H ). [20] Abu Muhammad Khalaf bin Hisyam ( 150H – 229H ). [21] Abu Isa Khallad bin Khalid Al-Syaibani ( - 220H ). [22] Abu al-Hasan Ali bin Hamzah bin Abdullah bin Bahman bin Fairuz al-Asadi al-Kufi al-Nahwi ( 119H-189H ). [23] Abu al-Harith Al-Laith bin Khalid Al-Baghdadi ( - 240H ). [24] Abu Umar Hafs bin Umar bin Abdul Aziz ( - 246H ). [25] Abu Jaafar Yazid bin al-Qa’qa’ al-Makhzumi al-Madani ( - 130H ) [26] Isa bin Wardan ( - 160H ). [27] Abu Al-Rabi’ Sulaiman bin Muslim bin Jammaz. ( - 170H ). [28] Abu Muhammad Ya’kub bin Ishak bin Zaid bin Abdullah bin Abu Ishak al-Hadhrami.( 117H-205H ). [29] Abu Abdullah Muhammad bin Al-Mutawakkil Al-Lu’lu’ ( - 238H ) [30] Abu al-Hassan Rauh bin Abdul Mu’min ( - 224H ). [31] Abu Muhammad Khalaf bin Hisyam al-Bazzar al-Baghdadi ( 150H-229H ). [32] Abu Ya’kub Ishaq bin Ibrahim bin Uthman ( - 286H ). [33] Abu al-Hassan Idris bin Abdul Karim al-Baghdadi ( 189H – 292H ).