Tuesday, September 15, 2009

Latar Belakang Al Tartil Centre

Oleh : Pengurus Al Tartil Centre


Al Tartil Centre merupakan pusat pengajian yang menawarkan kelas pengajian al-Quran dan fardhu ain untuk kanak-kanak dan kelas Talaqqi Qiraat al-Quran kepada golongan dewasa. Al Tartil Centre juga aktif dalam penganjuran seminar, motivasi dan bengkel keagamaan Islam.

Mula ditubuhkan pada 27 Jun 2004. Namun ketika itu, Al Tartil Centre yang tidak mempunyai pusat pentadbiran khusus, tampil dengan penganjuran Seminar Pengukuhan al-Fatihah yang dilaksanakan secara bersama oleh tiga orang pensyarah daripada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ). Mereka terdiri daripada al-Fadhil Ustaz Mohd Azhar Abdullah, al-Fadhil Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim dan al-fadhil Ustaz Muhammad Amiri Ab.Ghani iaitu suami kepada Pengurus Al Tartil Centre. Hasil gandingan daripada tiga pensyarah ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing (fiqh, jampi, tasauf, Ilmu Qiraat, tajwid, Ilmu Tarannum asli dan murattal dan motivasi ), Seminar Pengukuhan al-Fatihah telah diadakan di serata tempat khususnya di masjid-masjid dalam negeri dan luar negeri termasuk Singapura.

Pada 27 Febuari 06, dengan izin Allah s.w.t Al Tartil Centre dapat melangkah setapak kehadapan setelah mempunyai bangunan yang disewa bagi menawarkan kelas pengajian al-Quran dan Fardhu ain kepada kanak-kanak tempatan. Permulaannya Al Tartil Centre hanya mempunyai belasan pelajar sahaja sepanjang 2006. Jika atas asas perniagaan semata-mata, Al Tartil Centre sudah tentu bernafas hanya untuk beberapa bulan sahaja memandangkan terpaksa menampung kos sewa bangunan yang melepasi pendapatan jumlah bayaran yuran yang dikenakan ke atas pelajar. Namun, pihak Al Tartil Centre yakin jika kita ikhlas untuk menyebarkan ilmuNya dan menyumbangkan kebaikan kepada umat Islam serta berbekalkan kesabaran dalam apa jua urusan insya Allah, Dia akan memudahkan segala urusan kita dan Dia akan menggantikan yang lebih baik kepada kita. Alhamdulillah, akhirnya Al Tartil Centre masih dapat beroperasi dengan menguruskan ratusan pelajar kini.

Semenjak beroperasi berpusat di Machang sehingga kini ( September 09 ) sebanyak 17 program yang telah dianjurkan oleh Al Tartil Centre. Program-program tersebut adalah :

1. Bengkel Penulisan Jawi Dan Khat ( B-JAK ) (1,2,8,9 dan 10 Disember 2006 )

2. Kem Tahfiz Surah-surah Pilihan ( 11-15 Mac 2007 )

3. Seminar Pengukuhan Al-Fatihah : Amali Dan Penghayatan Kontemporari ( 1 April 2007 )

4. Kem Bestari Solat, Hafazan Dan Kenali Bahasa Arab (26-29 Nov 2007 )

5. Kursus Pengajaran Dan Pembelajaran Jawi Kaedah Terkini ( 5 & 12 Januari 2008 )

6. Gema Maulidurrasul Alaf Digital ( 29 Mac 2008 )

7. Kursus Pemantapan Ilmu Tajwid - Siri 1 ( 19 Mei 2008 )

8. Kem Bahasa ( Bahasa Arab, Bahasa Inggeris Dan Bahasa Cina ) ( 25-27 Mei 2008 )

9. Kursus Pemantapan Ilmu Tajwid - Siri 2 ( 19 Julai 2008 )

10. Kursus Bahasa Al-Quran ( 3 Modul ) ( 2008 - 2009 )

11. Kursus Pemantapan Dan Penghayatan Surah Yaasiin ( 3 Januari 2009 )

12. Kursus Hayya Bilughatil Quran ( 3 Modul ) ( 2009 - 2010 )

13. Kursus Kesempurnaan Solat ( 6 Jun 2009 )

14. Kem Remaja Muslim ( 9 - 10 Jun 2009 )

15. Bengkel Ilmu Resam Uthmani ( 18 Julai 2009 )

16. Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy ( 5 September 2009 )

17. Motivasi Alaf Digital ( Program 2 bulan sekali ) secara percuma kepada pelajar Al Tartil Centre

Pihak Al Tartil Centre mengharapkan doa daripada muslimin dan muslimat terutama pengunjung blog ini agar Al Tartil Centre terus mara ke hadapan dengan membawa misi "Bersama Membina Generasi Al-Quran". Mudah-mudahan Al Tartil Centre dapat memperbanyakkan lagi program yang bermunafaat kepada umat Islam. Pihak kami juga sudi menerima apa jua bentuk bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak yang dermawan serta bermurah hati bagi melicinkan lagi pengurusan pihak Al Tartil Centre dalam mengatur pelbagai program lagi. Bagi sesiapa yang ingin menyumbangkan secara ikhlas bolehlah terus ke pejabat Al Tartil Centre, Machang atau boleh menyalurkan terus atas nama Al Tartil Centre, akaun BIMB: 03045010024283. Semoga Allah memberkati dan melimpahkan rezeki kepada tuan/puan muslimin dan muslimat yang berkongsi dalam membina generasi al-Quran.

Sunday, September 13, 2009

AL-FATIHAH : SATU PENJELASAN TERHADAP 30 AL-LAHN DALAM PEMBACAAN MASYARAKAT UMUM

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani

Penasihat Al Tartil Centre

Al-Quran satu nama yang mencerminkan salah satu tujuan ianya diturunkan iaitu untuk dibaca kerana al-Quran itu sendiri memberi erti “ yang dibaca ”. Meskipun begitu, pembacaannya mestilah berdasarkan neraca dan kaedah sebagaimana diturunkan iaitu bertajwid dan mengelakkan daripada berlaku al-lahn dalam bacaan. Justeru itu, kertas kerja ini memberi penjelasan terhadap kewajipan tahsin ( mengelokkan ) bacaan, penjelasan terhadap pengertian al-lahn, bahagiannya dan hukumnya dari kaca mata ahli qurra’, dan penjelasan terhadap beberapa kesalahan dalam bacaan masyarakat tumpuan pada surah al-Fatihah. Penulis hanya menumpukan 30 lahn popular sahaja meskipun hakikat kedapatan lahn lebih daripada jumlah tersebut.

2. Kewajipan Mentajwid Bacaan Al-Quran

Satu fakta tidak dapat disanggah lagi, pembacaan al-Quran wajib dibaca secara bertajwid berdasarkan perintah Allah s.w.t yang bermaksud ;
“ Bacalah al-Quran itu dengan tartil ”[1]

Maksud Tartil dalam ayat di atas ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Saidina Ali r.a ;
" الترتيل : تجويد الحروف ومعرفة الوقوف "
“ Memperelokkan sebutan huruf dan mengetahui tempat-tempat waqaf“ [2]

Demikian juga, penegasan yang diutarakan oleh Ibnu al-Jazari di dalam qasidahnya[3] :

وَالأخْذ ُ بـِالتـَّجْويدِ حَتـْمٌ لازِمُ مَــن لـَّـمْ يُــجَوِّدِ القُرْآنَ آثِـمُ
لأنـَّـهُ بِهِ الإِلـَـهُ أنــْـزَلا وَهَـــكـَذا مِنْهُ إلـــيْنـَا وَصَلا

Pengambilan ( Pembacaan al-Quran ) secara bertajwid adalah satu kemestian.
Berdosalah sesiapa yang tidak mengelokkan ( bacaan ) al-Quran.
Kerana sesungguhnya ( al-Quran ), Allah turunkan dengan bertajwid .
Dan begitulah ( al-Quran ) daripadaNya sampai kepada kita.
3. Pengertian Al-Lahn

Dari sudut bahasa, lahn mempunyai banyak pengertian[4]. Walaubagaimanapun maksud lahn di sini ialah melencong daripada mengelokkan bacaan dan tersasar daripada yang sebetulnya [5].

4. Bahagian Al-Lahn

Al-lahn terbahagi kepada dua bahagian : Jaliy ( جلي ) dan Khafiy ( خفي )

Lahn Jaliy : Kesalahan yang berlaku pada sebutan lafaz-lafaz yang mencacatkan neraca bacaan, dan mencacatkan bahasa dan i’rab sama ada berubah makna atau tidak.
Misalnya : Seorang pembaca mengubah sebutan huruf " ط " kepada " ض ", " ذ " kepada " ز " , " ث " kepada " س " dan seumpamanya.

Kadang-kala berlaku pada baris kalimah sama ada di awal kalimah, tengah kalimah atau di akhirnya seperti menjadikan baris atas kepada baris bawah, baris hadapan kepada baris atas atau menjadikan salah satu baris ini kepada mati atau seumpamanya. Sama ada kesalahan ini merubahkan makna seperti menukarkan baris atas huruf ta’ kepada baris hadapan kalimah " أنعمت " pada firman Allah s.w.t " صِراطَ الذينَ أنعمتَ عَـلَـيْهِـمْ "
Atau tidak merubahkan makna seperti menukar baris bawah huruf ha’ kepada baris hadapan lafz al-Jalalah " الله " pada firman Allah " بسم اللهِ الرحمن الرحيم"

Jenis ini haram pada syara’ dan berdosa kepada mereka yang sengaja. Sekiranya lupa atau jahil maka tidak haram[6].

Dinamakan Jaliy bagi jenis ini kerana kesalahan itu jelas dan diketahui umum sama ada dari kalangan qurra’ atau selain mereka.

Kesimpulannya bentuk Lahn Jaliy ada tujuh :

1. Bertukar huruf.
2. Mematikan huruf yang berbaris.
3. Membariskan huruf yang mati.
4. Memanjangkan baris yang menerbitkan huruf mad.
5. Menghazaf ( membuang ) huruf mad.
6. Meringankan huruf yang bersabdu.
7. Mentasydidkan huruf yang tidak bertasydid.

Lahn Khafiy ( halus ) : Merupakan satu kesalahan yang berlaku pada sebutan yang mencacatkan kaedah tajwid dan tidak mencacatkan bahasa, i’rab dan makna seperti mengizharkan apa yang wajib diidghamkan atau sebaliknya, atau mengikhfa’kannya, menipis apa yang wajib ditebalkan dan sebaliknya, memanjang apa yang ditentukan qasar dan sebaliknya dan lain-lain kesalahan yang menghilangkan kaedah yang disusun oleh para ulama’ Qiraat dan yang diletakkan tanda baris oleh imam al-ada’.

Dinamakan jenis ini Khafiy kerana kesalahan ini tidak akan diketahuinya selain qurra’.

Jenis ini menurut pendapat al-Birkawi[7] dalam syarahnya ke atas al-Dur al-Yatim : “ Haram perubahan ini kesemuanya kerana sekalipun tidak merubahkan makna tetapi mencacatkan lafaz yang merosakkan keindahan dan kehebatan al-Quran dan melenyapkan keelokan dan kecantikannya “[8].

Setengah ulama’ pula seperti Syaikh Mulla ‘Ali Qari’ menghukumnya sebagai berkata :“ Tidak syak lagi memelihara bacaaan daripada lahn khafiy ini bukan termasuk daripada kategori farhu ain yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat azab seksaaan amat pedih. Walaubagaimanapun pemeliharaan bacaan daripada lahn khafiy itu bertujuan untuk mengelak daripada mendapat celaan dan amaran[9] ”.

5. Antara Al-Lahn Yang Berlaku Dalam Bacaan Fatihah ;

Hasil penelitian dan kajian penulis daripada kitab “al-Madkhal Ila Fann al-Ada’ “[10] dan daripada bacaan individu yang memperdengarkan bacaan kepada penulis, maka terhimpunlah 30 al-lahn yang dikategorikan sebagai Khafiy dan Jaliy untuk perhatian para pembaca al-Quran semua ;

1. Tidak menyebut sesuatu huruf yang berbaris secukupnya : Perkara ini biasanya berlaku di awal huruf kalimah-kalimah berikut ;
بسم ، اهدنا ،صراط

2. Melebihi kadar mad yang sepatutnya : Perkara ini biasanya berlaku pada hukum Mad Asli yang sepatutnya dibaca dua harakat sahaja.

3. Memanjangkan huruf yang tidak terdapat huruf mad[11]

4. Menggetarkan lidah ketika menyebut huruf ra’: Huruf ra’ bersifat dengan takrir (berulang-ulang), walaubagaimanapun ditegah daripada membacanya dengan sifat itu terutama ra’ yang bertasydid[12].

5. Menahan suara sebelum menyebut huruf " ر " sehingga melahirkan huruf " ط "ketika membaca " بسم الله الرَّحمن "

6. Sengaja serakkan suara atau menggaraukan suara ketika menyebut huruf "ح" sehingga bertukar kepada "ع".

7. Menzahirkan qalqalah[13] pada huruf mati yang bukan bersifat dengannya.
8. Memanjangkan suara ketika menyebut " يَـوْمِ " pada ayat : 4 sehingga terjadi Mad Lin yang hanya wujud ketika waqaf sahaja.

9. Menebalkan sebutan huruf ya’ yang berbaris atas pada kalimah " يَوْمِ "

10. Tidak mentasydidkan pada huruf yang bertasydid : Jumlah huruf bertasydid di dalam al-Fatihah ialah 14 huruf. Kesalahan yang nyata merubahkan makna ialah pada kalimah ( إيَّاكَ ) sekiranya dibaca tanpa mentashdidkan huruf ya’ maka maknanya ialah “ cahaya matahari ”[14].

11. Menahan suara pada ya’ bertasydid ketika membaca " إيَّاكَ " sehingga melahirkan huruf " ج "
12. Melampau pada sebutan huruf " ك " sehingga bertukar menjadi " ق "
13. Menebalkan sebutan huruf nun yang berbaris atas pada kalimah " نَعْبُدُ "

14. Mematikan ‘ain " ع " secara kemas dan keras pada " نَعْبُدُ " sedangkan ianya bersifat Tawassut[15] ( pertengahan ) antara syiddah[16] dan rakhawah[17].
15. Melampau menyebut bunyi baris hamzah wasal pada " اهْدِنـَا "

16. Menipiskan sebutan huruf " ط " pada kalimah " الصّرَاطَ، صِرَاطَ "

17. Memasukkan sin ke dalam ta’ pada kalimah مُسْتَقِيمَ → مُتَّقِيمَ.

18. Terlampau menebalkan huruf qaf" ق " yang berbaris di bawah : Huruf qaf adalah daripada huruf yang bersifat isti’la’ yang perlu dibaca dengan tebal. Walaubagaimanapun apabila ianya berbaris di bawah tahap ketebalannya terbawah sekali iaitu pada martabat kelima[18] ;

19. Melampau pada sebutan huruf "ع" sehingga bertukar baris atas kepada hadapan[19]: Biasanya berlaku ketika menyebut kalimah ( أنْعَمْتَ ) .

20. Menyebut huruf ‘ain " ع " bukan pada makhrajnya sehingga bertukar huruf tersebut kepada huruf hamzah : Kesalahan ini terjadi ketika menyebut kalimah " أنْعَمْتَ "

21. Menipiskan sebutan huruf ghain " غ " pada kalimah " غَـيْرِ " .

22. Menebalkan sebutan huruf mim yang berbaris atas pada " المَغْضُوبِ"

23. Menipiskan sebutan huruf " ض " pada " المَغْضُوبِ ، الضَّآلّينَ ".

24. Mengidghamkan ( memasukkan ) huruf mim" م " ke dalam wau" و " pada;

25. Menukarkan sebutan huruf " ذ " kepada " ز " : Kesalahan ini terjadi apabila meletakkan lidah tidak pada makhrajnya.

26. Tidak cukup kadar harakat Mad Lazim[20] Kalimi[21] Muthaqqal[22] yang sepatutnya dibaca 6 harakat iaitu pada : الضّالين

27. Tidak seragam pada kadar mad : Ketidakseragaman ini biasanya berlaku pada Mad ‘Aridh Lissukun[23].

28. Melampau sebutan pada huruf yang berbaris di atas sehingga berbunyi kedaerahan sekali gus melenyapkan fasohah dalam bacaan.

29. Menyembunyikan huruf nun " ن " ketika waqaf. pada kalimah yang berakhir dengannya seperti kalimah yang terletak di akhir ayat kedua, keempat, kelima dan ketujuh.

30. Memanjangkan suara ketika waqaf pada nun atau mim yang tidak bertasydid sehingga terjadi ghunnah.

Kesimpulan

Lahn satu kecacatan yang boleh menjejaskan kesahan bacaan al-Fatihah yang memberi implikasi pada solatnya. Pemerhatian dan kemahiran tahsin al-Fatihah amat penting bagi memastikan al-Fatihah itu benar-benar dibaca seperti mana ia diturunkan. Sikap mempermudahkan dan pandang remeh terhadap tahsin al-Fatihah melambangkan sikapnya terhadap keseluruhan bacaan al-Quran. Sikap seumpama ini tidak wajar berada dalam keperibadian Islam.والله أعلم

[1] Al-Muzammil : 4
[2] Ibnu al-Jazari, Al-Nasyr, Jld 1, hlm :209.
[3] Ibnu al-Jazari, Toyyibatu al-Nasyr Fi al-Qiraat al-‘Asyr , hlm: 36, Maktabah Dar al-Huda, Madinah 1994 .
[4] Antara maknanya : Al-Lughah ( bahasa ), al-Ghina’ ( lagu ),al-Khata’ ( salah ), lahjah. Sila lihat Lisan al-‘Arab, Jld 13, hlm 379 – 382, Dar al-Fikr, Beirut, 1990.
[5] Mahmud al-Husriy, Ahkam Qiraat al-Quran al-Karim, hlm : 21, Syarikat al-Syamarli, Kaherah, 1970
[6] Ibid, hlm 22.
[7] Seorang pakar bahasa, farai’dh dan tajwid.
[8] Pendapat ini dipegang juga oleh Syaikh Nasiruddin al-Tablawi daripada ulama’ al-Syafi’iyyah .
[9] Lihat al-Manh al-Fikriyyah Fi Syarh al-Jazariyyah.
[10] Karangan Dr. Abdul Ghafur Mahmud Mustafa Ja’far, 1994.
[11] Huruf mad ada tiga iaitu " ا، و، ي "
[12] Sila lihat al-Muqaddimah al-Jazariyyah, Syamsuddin bin Muhammad bin Muhammad al-Jazariy al-Syafi‘i.
[13] Huruf yang bersifat qalqalah hanyalah lima sahaja iaitu : " ق، ط، ب، ج، د "
[14] Lihat Lisan al-‘Arab, Juzu’ 14, hlm 63, Dar al-Fikr, 1990.
[15] Huruf yang berifat tawassut ada 5 iaitu terhimpun dalam ungkapan " لِنْ عُمَرْ "
[16] Huruf yang bersifat syiddah ( suara mengemas keras ) ialah lapan huruf terhimpun dalam ungkapan " أجِدْ قَط بكت"
[17] Huruf yang bersifat rakhawah(suara melonggar lembut) ialah 16 huruf terhimpun pada ungkapan َّ شّوْصٍ زَيَّ سَاهٍ " " خُذْ غّثَّ حّظَّ
[18] Lihat Nihayat al-Qaul al-Mufid Fi ‘Ilm al-Tajwid , oleh Syaikh Muhammad Makki Nasr al-Juraisiy, hlm : 138, Maktabah al-Safa, Kaherah, 1999
[19] Makna kalimah ini apabila dibaca huruf ‘ain dengan baris atas ialah “ Yang Engkau telah kurniakan nikmat ” tetapi apabila huruf ‘ain dibaca berbaris hadapan, maka berlakulah perubahan makna pada kalimah ini iaitu “ yang Engkau lembutkan ”. Lihat Kursus Qari dan Qari’ah, oleh Abdullah al-Qari bin Hj. Salleh ( ‘Aqhas ), hlm. 141, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, 1996.
[20] Dinamakan lazim kerana huruf mati yang terletak selepas mad ini merupakan mati asal dan menjadi suatu hal yang tetap ( lazim ) baginya pada dua keadaan iaitu wasal dan wakaf ataupun kerana ketetapan ( kelaziman ) madnya dengan kadar 6 harakat di sisi semua qurra’.
[21] Dinisbahkan kepada kalimi kerana kedudukan huruf mati yang asal selepas huruf mad itu terletak dalam satu kalimah.
[22] Dinamakan muthaqqal kerana berat sebutannya disebabkan terdapat huruf bertasydid selepas mad yang asalnya tersusun daripada dua huruf, iaitu huruf pertama mati diidghamkan ( dimasukkan ) ke dalam huruf kedua yang berbaris menjadikannya satu huruf pada tulisan.
[23] Dinamakan sedemikian kerana mad tersebut terjadi disebabkan terdapat huruf mati. Manakala huruf mati itu yang pada asalnya berbaris tetapi dimatikannya kerana wakaf.

Biografi Imam Warsy

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Ab.Ghani
Penyusun Buku " Juzu' 'Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq al-Syatibi"


Nama sebenarnya ialah Uthman bin Sa‘id bin Abdullah bin ‘Amru bin Sulaiman bin Ibrahim al-Misriyy ( المصرى ) al-Muqri’[1]. Dilahirkan pada tahun 110 Hijrah bersamaan 725 Masihi di Qift ( قِفْط ) yang terletak di sebelah selatan Mesir.

Beliau berhijrah ke Madinah dan mempelajari al-Quran daripada Imam Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Nu‘im al-Laithiyy al-Madaniyy yang berasal dari Asfahan dan sempat khatam beberapa kali pada tahun 155 Hijrah. Kemudian beliau kembali ke Mesir.

Ada yang berpendapat bahawa Imam Nafi’ menggelarnya Warsy kerana kulitnyayang sangat putih. Dengan kemahiran dan kefasihan Imam Warsy dalam pembacaan al-Quran, luas pengetahuan dalam Ilmu Tajwid dan fasih dalam bahasa Arab serta keelokan suaranya menambat hati sesiapa sahaja yang mendengar bacaan beliau, melayakkannya menjadi guru besar dalam Ilmu Qiraat di tanah airnya. Seterusnya, bacaan Warsy menjadi masyhur dan diamalkan oleh umat Islam di Mesir untuk beberapa kurun.

Beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 197 Hijrah bersamaan 812 Masihi dalam usia 87 tahun dan dikuburkan di suatu tempat yang dikenali ramai dengan nama Qarafah ( القرافة ) .

Thursday, September 10, 2009

Buku " Juzu’ ‘Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq Al-Syatibi"

Pengarang : Us. Muhammad Amiri b. Ab. Ghani

Tahun Terbit : 2003

Halaman : 72 hlm.

Sinopsis :

Buku ini menghuraikan kaedah pembacaan al-Quran dengan Riwayat Warsy di dalam Juzu’ ‘Amma. Penerangan terhadap kaedah tersebut dalam Bahasa Malaysia dengan gaya bahasa yang mudah difahami yang diterangkan pada setiap surah bermula surah al-Fatihah seterusnya surah al-Naba’ hingga al-Nas membantu pelajar yang bertalaqqi al-Quran dengan riwayat Warsy. Riwayat Warsy ini masyhur dan masih diamalkan pembacaannya di Jazair, Maghribi, Tunisia. Riwayat ini juga merupakan salah satu daripada 20 riwayat mutawatir yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya seperti riwayat Hafs, iaitu bacaan yang masyhur di negara kita.

Kandungan :

1. Kata Pengantar
2. Kata-kata Aluan
3. Secalit Tinta Penulis
4. Biografi Imam Warsy
5. Sanad Riwayat Warsy.
6. Beberapa Tanda Penting Dalam Mushaf Riwayat Warsy.
7. Surah al-Fatihah.
8. Surah al-Naba’ hingga surah al-Nas
9. Hukum Naqal
10.Hukum Mim Jama’
11.Hukum Ra’ Kaedah Pertama
12.Kaedah Ibdal Hamzah Mufrad
13.Hukum Mad Badal
14.Hukum Mad Lin
15.Hukum Ra’ Kaedah Kedua
16.Hukum Dua Hamzah Dalam 1 Kalimah
17.Hukum Zi al-Ya’
18.Hukum Zi al-Ya’ Pada Ra’su al-Ayat
19.Hukum Zi al-Ra’
20.Hukum Zi al-Ya’ Bersambung Dengan Ha’ Dhamir
21.Hukum 2 Hamzah Dalam 2 Kalimah
22.Hukum Kalimah " رأى "
23.Hukum Lam
24.Hukum Bagi Alif Yang Terletak Sebelum Ra’ Berbaris Bawah
25.Hukum Zi al-Ya’ Berhimpun Dengan Mad Badal
26.Hukum Bagi Kalimah " الكافرين "
27.Hukum Ya’ al-Zawa‘id Dan Ya’ al-Idhafah
28.Hukum Bagi Kalimah " أرءيت "
29.Bibliografi

Wednesday, September 9, 2009

Bengkel Qiraat (1): Kaedah Riwayat Warsy

Semasa pedaftaran bengkel di Kelas Pra Al Tartil


Sebahagian daripada peserta muslimin sedang
memberi tumpuan dalam Bengkel Qiraat (1)

Sebahagian daripada peserta muslimat
dalam Bengkel Qiraat (1)

Program Bengkel Qiraat (1) Berlangsung Dengan Jayanya

Alhamdulillah, pada 5 September 09 ( Sabtu ), program Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy berjalan dengan lancar. Seramai 40 orang menyertai program tersebut yang terdiri daripada pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat, Guru-guru al-Quran daripada Mahaad Tahfiz Sains, Mahasiswa IPTS tempatan, pelajar menengah, pencinta dan peminat ilmu al-Quran.

Pembentangan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Amiri bin Ab. Ghani, Pensyarah KIAS selama 3 jam bermula jam 9 pagi hingga 12 tgh, dengan tayangan slide dan penerangan yang jelas memudahkan para peserta memahami kaedah Riwayat Warsy ditambah dengan mempraktikkan secara langsung kaedah-kaedah yang dibincangkan dalam bengkel tersebut.

Menurut al-Fadhil Ustaz, pembentangan kertas kerja dalam masa 3 jam itu Insya Allah, para peserta mampu membaca Juzu' 'Amma menurut Riwayat Warsy dengan penambahan sedikit pengetahuan tentang Farsy al-Huruf yang terkandung dalam Juzu' ketiga puluh itu.
Insya Allah, al Tartil Centre merancang untuk menganjurkan sekali lagi program seperti ini dengan pembentangan kaedah riwayat yang lain pula. Ini berikutan dengan permintaan ramai daripada peserta yang mengikuti program tersebut.

Pihak al Tartil Centre mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudari yang hadir menjayakan program tersebut dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn Zumurni, wartawan Sinar Harian yang tidak ketinggalan menghebahkan kepada orang ramai berhubung dengan program tersebut.

Buat pengunjung blog ini, di sini Al Tartil Centre memasukkan sebahagian daripada kandungan kertas kerja pembentangan oleh Ust Muhammad Amiri. :-

¨Allah s.w.t yang menciptakan bangsa Arab ini terdiri daripada pelbagai kabilah dan setiap kabilah itu mempunyai dialeknya tersendiri. Maka menjadi lambang kasih sayang Allah terhadap hambaNya, Dia memberi kelonggaran kepada mereka yang mengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w membaca al-Quran itu dengan dialek dan bahasa kabilah itu sendiri sebagaimana yang diturunkan kepada RasulNya s.a.w.

AL-QIRAAT; Kepelbagaian Bacaan قِرَاءَةٌ ، قِرَاءَتَانِ ، قِرَاءَاتٌ Ibnu al-Jazariy mendefinisikan Qiraat sebagai:“Suatu ilmu yang membicarakan tentang cara penyebutan kalimah-kalimah al-Quran dan perselisihannya yang dinisbahkan kepada yang menaqalkannya (memindahkannya iaitu para Imam qurra’’) ¨Manakala takrif daripada Al-Sabuniy : ¨“Qiraat ialah suatu mazhab daripada beberapa mazhab dalam kaedah pembacaan al-Quran yang masing-masing (setiap daripada imam qiraat ) daripada ulama qurra’ memilih satu kaedah yang berbeza berhubung dengan penyebutan (penuturan) ayat al-Quran al-Karim dan ianya bersambung dan sabit (tetap) dari sudut sanadnya hingga kepada Rasulullah s.a.w.

BAB PERTAMA Farsy al-Huruf ; Tiap-tiap lafaz al-Quran yang berlaku khilaf di kalangan qurra’ dari segi bacaannya. Farsy al-Huruf tidak dikategorikan di bawah mana-mana bab usul kerana perubahan ini berlaku sedikit sahaja di dalam mushaf Uthmani. Misalnya dalam surah al-Fatihah: 4, Mim dibaca dengan tanpa mad bagi riwayat Warsy. -----------------------------------------------------------------------------------------------* Kandungan selanjutnya sila dapatkan kertas kerja ini di Al Tartil Centre, Machang.

Friday, August 21, 2009

‘ BENGKEL QIRAAT (1) : KAEDAH RIWAYAT WARSY

Saidina Uthman bin ‘Affan meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda ; "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya".

Ilmu al-Quran terlalu luas. Masih banyak yang boleh diterokai. Salah satu ilmu yang masih lagi tidak diperluaskan dan diperkembangkan ialah ilmu Qiraat. Masyarakat Islam masih ramai lagi tidak mengetahui tentang kewujudan kepelbagaian bacaan al-Quran atau disebut sebagai Qiraat. Bahkan setengah daripada mereka tidak dapat menyatakan bacaan al-Quran yang dibaca oleh umat Islam khususnya di Malaysia adalah menurut Riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim. Apakah yang dimaksudkan dengan riwayat? Siapakah dia Imam Hafs ? apa kaitannya dengan al-Quran ? persoalan-persoalan sedemikian masih terbelenggu dalam pemikiran masyarakat awam. Justeru, Al Tartil Centre menganjurkan Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy , dalam usaha untuk mengenengahkan ilmu Qiraat kepada masyarakat sekitar yang berminat untuk mengetahui ilmu berkaitan dengan Qiraat sekali gus menambah pengetahuan dalam bidang Ilmu Tajwid al-Quran. Semoga penganjuran program ini mencapai objektif dan penyertaan muslimin muslimat dalam program tersebut mudah-mudahan mendapat keredhaan Allah dan diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda sempena bulan yang Mulia Ramadhan al-Mubarak.

Butiran bengkel adalah sebagaimana berikut :
Tarikh : 5 September 2009
Hari : Sabtu
Masa : 9.00 pg – 12.00 tgh
Tempat : Dewan Al Tartil
Pembentang : Ustaz Muhammad Amiri bin Ab. Ghani
Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ),
Nilam Puri.
Penyusun Kitab “ Juzu’ ‘Amma Menurut Riwayat Warsy
Tariq al-Syatibiyy”
Yuran Penyertaan: RM 15.00 sahaja.
DAFTAR SEGERA!! UNTUK PENDAFTARAN CLICK COMMENT DAN SILA TAIPKAN NAMA, NO IC SERTA NO TELEFON ANDA.SIJIL PENYERTAAN AKAN DIBERI KEPADA SETIAPPESERTA BENGKELTEMPAT TERHAD!!