Friday, April 3, 2009

SEMINAR PENGUKUHAN AL-FATIHAH : AMALI DAN PENGHAYATAN KONTEMPORARI

1. Intro
Al-Fatihah satu surah yang bukan hanya mencerminkan keseluruhan isi al-Quran, malah dalam kehidupan ibadat itu sendiri khususnya solat. Kedudukannya pada surah pertama di dalam al-Quran memanifestasikan peri kepentingannya, kehebatannya, kesyumulannya dan keindahan sebuah kitab suci yang diturunkan kepada junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w.Malangnya, keunggulan al-Fatihah ini tidak akan terserlah tanpa dicungkil apa yang tersurat dan tersirat bermula huruf "ب" hingga ke " ن " secara komprehensif baik dari sudut bacaan maupun pemahaman dan penghayatan. Justeru itu, pihak kami ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman, berasakan bertanggungjawab untuk menyebarkan ilmu kurniaan Allah s.w.t. berdasarkan neraca kajian terperinci dan gabungan ulama muda yang memfokuskan kupasan al-Fatihah secara komprehensif dari dua sudut; teori dan amali melalui Seminar Pengukuhan Al-Fatihah ( SPA ) ini.


2. Matlamat
Warga perserta secara praktikal dibimbing mendaki unjuran matlamat berikut ;
2.1. Pemantapan pengetahuan fizikal dan spritual tentang al-Fatihah melalui jalinan pengetahuan, penghayatan dan teknik bacaan yang menarik dan tepat.
2.2. Pengukuhan sistem dan kaedah bacaan al-Fatihah secara fasih berteraskan makhraj, sifat huruf dan tajwid yang mutawatir.
2.3 Pendedahan kepelbagaian bacaan qira‘at mutawatir yang seterusnya memperluaskan ufuk pengetahuan dan penyatuan ummah.2.4 Mengempurkan kesedaran dan mengemerlap minat mendalam terhadap al-Quran dan rohnya dalam kehidupan ibadat khusus dan tidak khusus.

3. Kumpulan Sasaran
1. Imam-imam / Pra-Imam seluruh Malaysia.
2. Kakitangan kerajaan / swasta.
3. Mahasiswa/siswi IPT.
4. Pelajar-pelajar peringkat menengah SMA/SMU/SMK seluruh Malaysia.
5. Individu yang berminat dari kalangan muslimin dan muslimat.

4. Pengurusan :
Al Tartil Centre hanya menguruskan perkara berkaitan dengan penceramah/pembentang dan kertas kerja. Manakala perkara berkaitan dengan promosi, pendaftaran peserta, mempengerusikan majlis, makan minum peserta adalah dibawah tanggungan penganjur.


5.Tempat :Tempat program seminar ditentukan oleh pihak penganjur sendiri.


6. Hari Dan Masa
Penetapan hari dan masa boleh berbincang dengan pihak Al Tartil Centre.


7. BayaranRM 150.00 x 1 kertas kerja x 6 pembentangan = RM900.00 ( Bagi Dalam Negeri Kelantan )

BayaranRM 250.00 x 1 kertas kerja x 6 pembentangan = RM1.500.00 ( Bagi Luar Negeri Kelantan - tidak termasuk penginapan dan pengangkutan)


8. Tentetif Program :
Setiap pembentangan memakan masa selama 1 jam termasuk sesi soal jawab.

9. KELULUSAN / BIOGRAFI AHLI PANEL

Tautan daripada tiga dimensi kepakaran iaitu Fiqh, Tasauf, Ilmu Qiraat dan Ilmu Tarannum:


1. Al-Fadhil Ustaz Mohd Azhar Abdullah

Bertugas sebagai pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Di samping itu pembentang kertaskerja dan bengkel di sekitar negeri Kelantan dan luar negeri Kelantan termasuk Singapura dan Selatan Thailand. Selain daripada menjadi kolumnis Mingguan Wasilah, beliau telah menghasilkan hampir 30 artikel bercetak dan telah menerbtkan 5 buah ilmiah. Kelayakan akademik;

- M.A. Syariah, Universiti Malaya
- B.A Hons Syariah, Univ Al-Azhar, Mesir
- Sijil Kursus Pengajian Ilmu Qiraat, Kias
- Sijil Pondok Pasir Tumbuh, Kubang Kerian, Kelantan

2. Al-Fadhil Ustaz Muhammad Lukman Al-Hafiz Bin Ibrahim

Pensyarah kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Pakar dalam bidang al-Quran khususnya tajwid, tafsir dan tarannum asli dan murattal. Seringkali mewakili pertandingan musabaqah al-Quran peringkat Daerah Negeri dan kebangsaan. Selain itu menjadi imam terawih di Masjid Besar Kampung Sireh, Kota Bharu, Masjid Darul Makmur Yishun, Singapura 2001, 2002,2003, 2005 dan 2007. Imam Terawih Di Stadium Muhammad Ke 4 Kota BharuØKota Bharu Kelantan 2004. Ketua Kumpulan Qasidah “Raudhah Tilawah” Musabaqah Peingkat Antarabangsa. Juri Tarannum Akademi Quran (AQ) TV9 Peringkat Negeri Kelantan bertempat di Balai Islam Kota Bharu. 19 & 20 Febuari 2007. Kelayakan akademik ;

- M.A. Usuluddin, Um
- B.A Usuluddin, UM
- Ahli Tarannum & Qari Jemputan
- Imam Terawih Di Masjid Darul Makmur, Singapura 2001-2005
- Ketua Kumpulan Qasidah “Raudhah Tilawah”

3. Al-Fadhil Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab.Ghani

Pensyarah kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi subjek al-Quran dan ilmu Qiraat dan merangkap Penyelaras Pusat Kursus Pengajian Ilmu-ilmu Islam (PKPII), KIAS. Juga merupakan tenaga pengajar bagi Kursus Pengajian Ilmu Qiraat & Tarannum, KIAS. Beliau juga telah menerbitkan kitab yang berkaitan dengan qiraat iaitu ” Juzu’ ’Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq al-Syatibi” dan " Nafahatul Jinan Fi Usul Riwayat Qalun". Beliau juga pernah diundang menjadi imam terawih di Masjid Darul Makmur Yishun, Singapura 2005 – 2007. Bagi rancangan Akademi Quran (AQ)TV9, Peringkat Negeri Kelantan pada Febuari 2007 yang bertempat di Balai Islam, Kota Bharu, beliau menjadi juri bahagian Fasohah. Kelayakan akademik ;

- B.A Usuluddin Univ. Al-Azhar
- Ijazah Sanad Qiraat Sepuluh daripada Syaikh Ridha Salim Ali Sayyed Ahmad
- Ijazah Sanad Riwayat Hafs dan Qiraat Nafi' daripada al-Marhum Syaikh Mustafa bin Ahmad bin Abdul al-'Al al-Halawani


10. KANDUNGAN SEMINAR

Seminar ‘Pengukuhan Al-Fatihah “Amali Dan Penghayatan Kontemporari” mengandungi enam kertas kerja yang dibentangkan oleh Pensyarah-pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra sebagaimana berikut :

1) KEISTIMEWAAN SURAH AL-FATIHAH : TUMPUAN TERHADAP JAMPI ISLAM
Oleh : Ustaz Mohd Azhar Abdullah
2) KEPELBAGAIAN QIRAAT MUTAWATIR DALAM AL-FATIHAH: SATU PENJELASAN DARI SUDUT TEORI DAN AMALI
Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani
3) KEPENTINGAN PENGAMALAN TARANNUM MURATTAL KEPADA MASYARAKAT
Oleh : Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim
4) SURAH AL-FATIHAH : SATU PENGUKUHAN TERHADAP FIQH SOLAT.
Oleh : Ustaz Mohd Azhar Abdullah

5) AL-FATIHAH : HURAIAN TERHADAP 30 AL-LAHN DALAM PEMBACAAN MASYARAKAT UMUM
Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani
6) TEORI DAN PRAKTIKAL TARANNUM MURATTAL HIJAZI
Oleh : Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim


11. METODOLOGI PEMBENTANGAN
Keseluruhan pembentangan akan menggunakan kertaskerja yang disediakan di samping penghuraian melalui ”Powerpoint”. Manakala sesi pembentangan pada setiap sesi akan menumpukan aspek praktikal sebanyak 60% antara pembentang dan perserta secara langsung dan pemindahan teori hanya 40% untuk melatih dan meningkatkan penguasaan perserta.


Sebarang perundingan / perbincangan sila hubungi :
Siti Hajar Binti Deraman ( Pengurus Al Tartil Centre )
013-923 7072 @ 013-922 7072 @ 013-605 5160

Monday, March 30, 2009

KELAHIRAN YANG DINANTI


Agak lama tidak mencatatkan sesuatu di dalam blog ini. Namun, Al Tartil Centre tidak menyepi bahkan kelas pengajian berjalan seperti biasa dan program yang dirancangkan telah dilaksanakan dengan jayanya. Program yang terakhir baru-baru ini ialah " Bengkel Pemantapan dan Penghayatan Surah Yaasiin" .

Antara kertas kerja yang dibincangkan dalam bengkel itu ialah ; Kaifiyat Membaca Surah Yassin, dibentangkan oleh Tuan Hj. Ab. Ghani, Imam Masjid Sultan Yahya Petra, Machang. Kertas kerja kedua pula bertajuk " Tafsir Surah Yaasiin " dibentangkan oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fadhli Syaari, Ketua Jabatan Dakwah Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) dan kertas kerja ketiga pula; Tajwid Surah Yaasiin yang dibentangkan oleh insan yang dekat dihatiku, siapa lagi kalau bukan zauji yang merupakan pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ). Maklumat program terperinci nanti post lain masa.

Sebenarnya lama tak mencatatkan sesuatu dalam blog ini kerana tanggal 5 Rabiul Awwal bersamaan 2 Mac 2009, Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi, saya telah selamat melahirkan putera yang kedua. Kini telah mempunyai 3 puteri dan 2 putera. Anak sulong bernama Amirah Hasifah, kedua, Amirah Hawadah, ketiga, Amirah Hasyasyah, keempat, Muhammad Amir Hasif dan kelima Muhammad Amir Hanif.
Semoga para pembaca budiman mendoakan kebahagiaan untuk saya sekeluarga dan umat Islam seluruhnya. Tidak lupa juga doakan untuk Al Tartil Centre agar dapat memperbanyakkan program-program agama demi membentuk Generasi Al-Quran.

Thursday, January 1, 2009

IKLAN PENGAJIAN


Sunday, December 21, 2008

BERSAMA ZAUJI DAN ANAK-ANAK 'MAJLIS IDIL FITRI"

Pengurus Al Tartil dan suami serta anak-anak. Gambar ini diambil pada hari raya Idil Fitri 1429H di Dewan Al Tartil. Dewan Al Tartil ni dapat menampung 90 orang dewasa. Manakala kanak-kanak pula 120 orang tu insya Allah masih selesa lagi. Dewan ni biasanya digunakan bila ada majlis seperti Majlis hari raya, kem motivasi untuk pelajar-pelajar Al Tartil Centre, Kursus-kursus atau seminar-seminar anjuran Al Tartil Centre. Kalau ada yang berminat untuk sewa dewan ni pun boleh hubungi kami.
Untuk pengetahuan pembaca pelajar-pelajar Al Tartil Centre akan diberi motivasi dua bulan sekali. Alhamdulillah untuk tahun ini sudah 4 kali motivasi diadakan. Mudah-mudahan melalui program itu, dapat membantu menyemarakkan semangat pelajar untuk lebih rajin lagi belajar al-Quran dan lebih bersungguh lagi meningkatkan kecemerlangan mereka dalam akademik serta dan tidak lupa mengerjakan solat serta mentaati kedua ibubapa. Penceramah motivasi pula kami jemput daripada kalangan mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan.

Tuesday, December 9, 2008

BENGKEL PEMANTAPAN DAN PENGHAYATAN SURAH YAASIIN

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari sedang membentangkan
kertas kerja berhubung dengan " Tafsir Surah Yaasiin"

Ayahanda Tn.Hj. Ab.Ghani bin Md. Amin
sedang menyampaikan ceramah beliau
berhubung dengan "kaifiyat Membaca Surah Yassin Dan Doa Yaasiin Beserta Maknanya"


Peserta khusyu' mendengar ceramah
berhubung dengan Surah Yaasiin

Thursday, October 23, 2008

Majlis Idil Fitri 2008

Penyampaian Hamper oleh Pengurus Al Tartil Centre kepada Tenaga Pengajar...terima kasih atas khidmat yang diberikan.











Cabutan bertuah...tahniah !!

Pengurus bersama suami dan tenaga pengajar Al Tartil Centre



Sesi Fotografi Sebahagian Daripada Pelajar Lelaki


Sesi Fotografi Sebahagian Daripada Pelajar Perempuan

Wednesday, October 15, 2008

Biodata Penasihat Al Tartil Centre

Ustaz Hj. Muhammad Amiri bin Hj. Ab. Ghani bin Mohd Amin, berasal dari Machang, Kelantan. Beliau mula mempelajari al-Quran peringkat asas daripada ayahnya sendiri iaitu bekas imam Masjid Sultan Yahya Petra Machang dan Masjid Tengku Faris Petra, Kuala Krai, Kelantan yang sering menjadi hakim tilawah al-Quran peringkat jajahan Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai bahagian tajwid pada awal 70-an hingga 90-an.

Beliau mendapat pendidikan peringkat menengah di Sek. Men. Agama ( Arab ) Syamsul Maarif Pulai Chondong dan menduduki Sijil Tinggi Ugama di sekolah yang sama cawangan Labok. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir. Di situ, walaupun beliau penuntut di Jabatan Usuluddin Fakulti Hadis, namun kerana minat dan cinta yang begitu mendalam terhadap Ilmu Qiraat, beliau telah bertalaqqi al-Quran daripada beberapa orang syaikh yang berwibawa.

Di Kaherah, beliau mula bertalaqqi al-Quran mengikut Qiraat ‘Asim Riwayat Hafs daripada gurunya yang pertama iaitu almarhum Syaikh Mustafa bin Ahmad bin Abdul al-‘Al al-Halawani. Setelah khatam dengan bacaan itu, beliau bertalaqqi pula Qiraat Nafi’ Riwayat Qalun dan Warsy serta Qiraat Ibnu Kathir. Beliau juga menerima sanad qiraat tersebut daripada gurunya itu.

Kemudian beliau dipertemukan dengan Syaikh Ridha Salim ‘Ali Sayyed Ahmad yang merupakan salah seorang tenaga pengajar Ma‘ahad al-Qiraat Syoubra. Beliau bertalaqqi al-Quran daripadanya mengikut kaedah Jama’ Qiraat Sepuluh berdasarkan Tariq al-Syatibiyy dan al-Durrah selama 2 tahun dan menerima ijazah sanad daripada gurunya itu.

Beliau juga sering mengikuti halaqat tadarus al-Quran yang dipimpin oleh Syaikh Abdul Hakim Ibnu Abdul Latif di Masjid Sayyidi Abi Abdullah Shamsudin al-Muhammadi di ‘Abasiyyah, Kaherah. Beliau juga sempat bertemu dengan almarhum Syaikh Abdullah al-Jauhari al-Sayyed dan mengaju beberapa persoalan kepadanya berhubung dengan qiraat.

Kini, beliau bertugas sebagai Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan merangkap Penyelaras Pusat Kursus Pengajian Ilmu-ilmu Islam (PKPII), KIAS. Di kolej itu, beliau ditugaskan mengajar subjek al-Quran dan al-Qiraat. Beliau juga telah menerbitkan kitab yang berkaitan dengan qiraat iaitu ” Juzu’ ’Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq al-Syatibi” dan " Nafahatul Jinan Fi Usul Riwayat Qalun". Beliau juga pernah diundang menjadi imam terawih di Masjid Darul Makmur Yishun, Singapura 2005 – 2007. Bagi rancangan Akademi Quran (AQ)TV9, Peringkat Negeri Kelantan pada Febuari 2007 yang bertempat di Balai Islam, Kota Bharu, beliau menjadi juri bahagian Fasohah.