Thursday, August 20, 2009

Al-ISTI‘AZAH ( الاستعاذة )

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri bin Ab.Ghani
Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ),
Nilam Puri.

Maksud isti‘azah ialah minta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam. Maka apabila seseorang membaca isti‘azah ketika hendak memulakan bacaan al-Quran, dia seolah-olah memohon perlindungan kepada Allah dan pemeliharaanNya.

1. Hukum Isti‘azah :

Ulama’ telah bersepakat bahawa membaca isti‘azah adalah dituntut bagi sesiapa yang ingin memulakan bacaan al-Quran sama ada pada awal surah atau dipertengahannya. Mereka berdalilkan pada firman Allah S.W.T ( Al-Nahl: 98 ) bermaksud;
“ Apabila kamu membaca Al Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk ”.

Namun ulama’ berselisih pendapat adakah tuntutan itu bermaksud sunat atau wajib. Menurut pendapat jumhur ulama’ ianya adalah sunat. Manakala sebahagian ulama’ berpendapat ianya adalah wajib.

2. Sighah / Bentuk-bentuk ucapan Isti‘azah

Terdapat lapan (8) lafaz yang harus dibaca iaitu [1] ;

3. Keadaan Bacaan Isti‘azah

Bagi bacaan isti‘azah terdapat dua keadaan ;
3.1 Diperlahankan bacaan isti‘azah
3.2 Dinyaringkan bacaan isti‘azah

3.1 Tempat diperlahankan isti‘azah [2]
3.1.1 Jika membaca al-Quran secara perlahan sama ada seorang diri atau di majlis.
3.1.2 Jika membaca seorang diri ditempat sunyi sama ada membaca al-Quran secara nyaring atau perlahan.
3.1.3 Di dalam solat sama ada menjadi imam atau makmum, sama ada solat sirriyyah [3] atau jahriyyah [4].
3.1.4 Jika membaca di dalam jama‘ah tadarus al-Quran dan qari tersebut bukan orang pertama yang memulakan bacaan al-Quran.

Selain daripada tempat-tempat tersebut di atas bolehlah dinyaringkan isti‘azah, antaranya;

i. Jika di tempat pengajian atau dalam jama‘ah tadarus dan qari tersebut adalah orang pertama yang memulaan bacaan.
ii. Jika qari membaca al-Quran secara nyaring di hadapan khalayak ramai yang mendengar bacaan tersebut.


4. Wajah-wajah isti‘azah

A. Isti‘azah dengan awal surah

Apabila seseorang qari ingin memulakan bacaan pada awal surah kecuali al-Taubah,maka harus dibaca dengan empat (4) wajah. Empat (4) wajah tersebut adalah sebagaimana berikut ;
4.1 Waqaf kesemuanya.
4.2 Waqaf pada isti‘azah kemudian menyambung basmalah dengan awal surah.
4.3 Menyambung isti‘azah dengan basmalah dan waqaf padanya kemudian baca awal surah.
4.4 Menyambung kesemuanya.


B. Isti‘azah dengan awal surah al-Taubah

Apabila hendak memulakan bacaan pada awal surah al-Taubah, maka harus dibaca dengan dua(2) wajah sahaja iaitu ;
i. Memutuskan isti‘azah daripada awal al-Taubah. Misalnya ;
ii. Menyambung isti‘azah dengan awal al-Taubah. Misalnya ;
Kedua-dua wajah ini dibaca dengan tanpa basmalah.

C. Isti‘azah dengan pertengahan surah

Bagi seseorang qari, harus menyambung isti‘azah dengan sesuatu ayat daripada mana-mana surah atau sebaliknya sama ada dihubung dengan basmalah atau tanpa basmalah. Misalnya ; (Al-Baqarah:142)
Namun, mewaqafkan pada isti‘azah adalah lebih utama sekiranya ayat tersebut bermula dengan sesuatu nama daripada nama-nama Allah, atau dhamir(gantinama) yang merujuk kepada Allah, atau nama rasul atau sifat-sifat bagi rasul.Ini adalah kerana ianya boleh memberi makna yang tidak sepatutnya. Misalnya ; Tidak boleh kita membaca menyambung isti‘azah dengan ayat ;
( Al-Fath:29) , ( Al-Baqarah:257) , (Fussilat:47)

Sekiranya qari tersebut ingin mewasalkan isti‘azah dengan ayat-ayat yang seumpama itu, maka dikehendaki membaca basmalah terlebih dahulu. Pada setengah keadaan pula meninggalkan basmalah adalah lebih utama misalnya apabila hendak memulakan bacaan pada ayat berikut ; ( Al-Baqarah:268)


Perhatian ;

1. Sekiranya seseorang qari terhenti bacaannya kerana sesuatu sebab yang terdesak seperti, batuk, bersin, berdehem atau memberhentikan bacaannya kerana bercakap tetapi berkaitan dengan bacaan seperti bertanya hukum tajwid atau terlupa ayat lalu bertanya kepada orang bersebelahannya, maka tidak perlu diulangi isti‘azah.

2. Sekiranya seseorang qari berhenti daripada bacaan al-Quran kerana sudah tidak berhajat untuk menyambungkan bacaannya atau bercakap yang tidak ada kaitan dengan al-Quran walaupun memberi atau menjawab salam, maka apabila dia ingin memulakan semula bacaannya, hendaklah membaca isti‘azah terlebih dahulu.
[1] Kursus Qari dan Qari‘ah, oleh Hj Abdullah bin Haji Saleh ( Aqhas ), hlm 131. Walaubagaimanapun masih ada lagi sighah isti‘azah yang harus dibaca sama ada ditambah atau dikurangkannya dengan syarat ianya sahih daripada imam-imam qurra’. Lihat Taisir al-Rahman Fi Tajwid al-Quran, oleh Dr. Saad Ab.Hamid.
[2] Sila lihat al-Budur al-Zahirah Fi al-Qiraat al-‘Asyr al-Mutawatirah Min Tariqay Al-Syatibiyyah Wa al-dura, hlm 12, karangan al-Syaikh Abdul Fattah al-Qadhi.
[3] Solat Zohor dan ‘Asar.
[4] Solat Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh.

Tuesday, August 18, 2009

Wangian Syurga Dalam Menerangkan Usul Riwayat Qalun Al-Madani



Pengarang : Us. Muhammad Amiri b. Ab. Ghani

Tahun Terbit : 2008

Halaman : 56 hlm.


Sinopsis :

Buku ini membincangkan Bab Usul Riwayat Qalun daripada Imam Nafi’ berdasarkan tariq al-Syatibiyy. Penerangan dalam Bahasa Malaysia yang mudah difahami dapat membantu pembaca yang berminat dalam bidang ilmu Qiraat. Riwayat Qalun ini masyhur dan masih diamalkan pembacaannya di Timur Afrika, khususnya di sesetengah tempat di Tunisia dan Mesir dan juga masyhur di Libya. Riwayat ini adalah salah satu daripada 20 riwayat mutawatir yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya seperti riwayat Hafs, iaitu bacaan yang masyhur di negara kita.


Kandungan :
1. Pendahuluan
2. Biografi Imam Qalun
3. Bab Menyambung Di Antara Dua Surah
3.1 Menyambung di antara dua surah kecuali dengan surah al-Taubah
3.2 Menyambung mana-mana surah dengan al-Taubah.
3.3 Menyambung surah al-Nas dengan al-Fatihah.
3.4 Menyambung akhir surah dengan awal surah yang sama.
4. Bab Mad Dan Qasr
4.1 Mad Muttasil
4.2 Mad Munfasil
5. Bab Ha’ Al-Kinayah
5.1 Tujuh kalimah yang dibaca dengan qasr
6. Bab Mim Jama’
6.1 Mad Munfasil mendahului MimJama’
6.2 Mim Jama’ mendahului Mad Munfasil
6.3 Dua Mim Jama’ berhimpun dalam satu ayat
6.4 Mim Jama’ bertemu dengan hamzah qata’
7. Bab Dua Hamzah Dalam Satu Kalimah
7.1 Hukum bacaan
7.2 Kalimah yang dikecualikan daripada idkhal alif
7.3 Istifham berulang-ulang
8. Bab Dua Hamzah Pada Dua Kalimah
8.1 Persamaan pada baris
8.2 Berhimpun Mad Munfasil dengan dua hamzah pada dua kalimah
8.3 Berlainan baris
9. Bab Hamzah Mufrad
9.1 Hukum bacaan pada hamzah sakin
9.2 Hukum bacaan pada hamzah berbaris
10. Bab Naqal
11. Bab al-Izhar Dan al-Idgham
12. Bab al-Fath, Imalah Dan Di Antara Dua Lafaz
12.1 Lafaz yang dibaca dengan imalah
12.2 Lafaz yang harus dibaca dengan fatah dan taqlil
13. Bab Ya’ Idhafah
13.1 Ya’ Idhafah bertemu dengan hamzah qata’
13.2 Ya’ Idhafah bertemu dengan hamzah wasa
l13.3 Ya’ Idhafah bertemu dengan salain hamzah qata’
14. Bab Ya’ al-Zawa’id
14.1 Perbezaan antara ‎Ya Idhafah dengan Ya al-Zaidah
14.2 Tempat-tempat yang diithbatkan Ya’ al-Zawaid

Friday, July 17, 2009

BENGKEL ILMU RESAM UTHMANI


Al tartil Centre akan menganjurkan "Bengkel Ilmu Resam Uthmani" pada Sabtu 18 Julai 2009 ( Sabtu ), jam 11.30 pg hingga 1.30 tgh bertempat di Dewan Al Tartil. Bengkel ini terbuka kepada mereka yang berminat untuk mengetahui Pengertian Resam Uthmani, Sejarah pengumpulan dan penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Uthman, keistimewaan Mushaf Uthmani, tahap-tahap penulisan al-Quran, faedah Resam Uthmani dan kaedah-kaedah resam Uthmani.

Kertas kerja berhubung dengan ilmu resam Uthmani akan dibentangkan oleh pensyarah jemputan daripada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) iaitu al-Fadhil Ustaz Wan Ismail Bin Abdul Halim al-Hafiz.

Yuran pendaftaran hanya dikenakan sebanyak RM10.00 sahaja termasuk makan tengahari dan kertas kerja. Bersama-samalah menjayakan program ini yang amat memberi munafaat kepada kita semua.

Saturday, May 23, 2009

KURSUS “ HAYYA BILUGHATIL QURAN”

Pengenalan
Al-Qur’an dan al-Hadis adalah sumber utama bagi ilmu pengetahuan di dalam Islam. Kedua-dua sumber tersebut berpengantarkan bahasa Arab. Oleh itu, untuk memahami kedua-duanya memerlukan pengetahuan mengenai bahasa Arab sama ada dari segi kosa kata, tatabahasa dan semantika.
Kursus ini cuba mengenengahkan beberapa tajuk penting di dalam ilmu bahasa Arab untuk memahami al-Qur’an dan al-Hadis melalui modul-modul yang disediakan.

Objektif
Selepas mengikuti kursus ini, insya-Allah peserta dijangkakan akan dapat :
* memahami maksud ayat-ayat al-Qur’an melalui kaedah-kaedah nahu dan sorf yang dipelajari.
* menggunakan kaedah-kaedah tersebut untuk memahami teks-teks berbahasa Arab yang lain.
* menggunakan bahasa Arab yang dipelajari dalam penuturan dan penulisan ringkas..

Tajuk-tajuk nahu dan sorf yang akan diperbincangkan :

Pembahagian kosa kata , Pembahagian kata-kerja, Jenis-jenis kata nama ,Pelaku , Objek , kata ganti nama ,Tasrif al-Af’al , Bentuk-bentuk ayat , Kata nama terbitan, Sandaran , Kata nama pelaku,Kata nama objek , Kata kerja tanpa imbuhan , Kata kerja berimbuhan, Adjektif.
ANDA ingin memahami maksud ayat-ayat al-Quran melalui kaedah-kaedah nahu dan Sorf ???
ANDA ingin memahami teks-teks berbahasa Arab ???
ANDA ingin menggunakan bahasa Arab dalam penuturan dan penulisan ringkas ???

Insya Allah anda dapat kesemuanya dengan mengikuti ;
KURSUS “ MARI BELAJAR BAHASA AL-QURAN “
Anjuran Al Tartil Centre


Kandungan Kursus
(Modul 1 = 30 jam):
Kajian Surah-surah berikut : Al-Fatihah, Al-Nas hingga al-Qadr


Waktu Kuliah
Setiap Jumaat
Bermula pada 8 Mei hingga 21 Ogos 2009

Masa : 10.00 - 12.00 tgh ( Bagi yang sudah ada asas Bahasa Arab )
: 3.00 - 5.00 petang ( Bagi yang tiada asas Bahasa Arab )


Yuran Pengajian
RM 170.00 termasuk pendaftaran dan nota pengajian bagi satu modul.
Bayaran boleh dibuat secara ansuran bulanan sepanjang tempoh pengajian setiap modul.

Friday, April 3, 2009

SEMINAR PENGUKUHAN AL-FATIHAH : AMALI DAN PENGHAYATAN KONTEMPORARI

1. Intro
Al-Fatihah satu surah yang bukan hanya mencerminkan keseluruhan isi al-Quran, malah dalam kehidupan ibadat itu sendiri khususnya solat. Kedudukannya pada surah pertama di dalam al-Quran memanifestasikan peri kepentingannya, kehebatannya, kesyumulannya dan keindahan sebuah kitab suci yang diturunkan kepada junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w.Malangnya, keunggulan al-Fatihah ini tidak akan terserlah tanpa dicungkil apa yang tersurat dan tersirat bermula huruf "ب" hingga ke " ن " secara komprehensif baik dari sudut bacaan maupun pemahaman dan penghayatan. Justeru itu, pihak kami ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman, berasakan bertanggungjawab untuk menyebarkan ilmu kurniaan Allah s.w.t. berdasarkan neraca kajian terperinci dan gabungan ulama muda yang memfokuskan kupasan al-Fatihah secara komprehensif dari dua sudut; teori dan amali melalui Seminar Pengukuhan Al-Fatihah ( SPA ) ini.


2. Matlamat
Warga perserta secara praktikal dibimbing mendaki unjuran matlamat berikut ;
2.1. Pemantapan pengetahuan fizikal dan spritual tentang al-Fatihah melalui jalinan pengetahuan, penghayatan dan teknik bacaan yang menarik dan tepat.
2.2. Pengukuhan sistem dan kaedah bacaan al-Fatihah secara fasih berteraskan makhraj, sifat huruf dan tajwid yang mutawatir.
2.3 Pendedahan kepelbagaian bacaan qira‘at mutawatir yang seterusnya memperluaskan ufuk pengetahuan dan penyatuan ummah.2.4 Mengempurkan kesedaran dan mengemerlap minat mendalam terhadap al-Quran dan rohnya dalam kehidupan ibadat khusus dan tidak khusus.

3. Kumpulan Sasaran
1. Imam-imam / Pra-Imam seluruh Malaysia.
2. Kakitangan kerajaan / swasta.
3. Mahasiswa/siswi IPT.
4. Pelajar-pelajar peringkat menengah SMA/SMU/SMK seluruh Malaysia.
5. Individu yang berminat dari kalangan muslimin dan muslimat.

4. Pengurusan :
Al Tartil Centre hanya menguruskan perkara berkaitan dengan penceramah/pembentang dan kertas kerja. Manakala perkara berkaitan dengan promosi, pendaftaran peserta, mempengerusikan majlis, makan minum peserta adalah dibawah tanggungan penganjur.


5.Tempat :Tempat program seminar ditentukan oleh pihak penganjur sendiri.


6. Hari Dan Masa
Penetapan hari dan masa boleh berbincang dengan pihak Al Tartil Centre.


7. BayaranRM 150.00 x 1 kertas kerja x 6 pembentangan = RM900.00 ( Bagi Dalam Negeri Kelantan )

BayaranRM 250.00 x 1 kertas kerja x 6 pembentangan = RM1.500.00 ( Bagi Luar Negeri Kelantan - tidak termasuk penginapan dan pengangkutan)


8. Tentetif Program :
Setiap pembentangan memakan masa selama 1 jam termasuk sesi soal jawab.

9. KELULUSAN / BIOGRAFI AHLI PANEL

Tautan daripada tiga dimensi kepakaran iaitu Fiqh, Tasauf, Ilmu Qiraat dan Ilmu Tarannum:


1. Al-Fadhil Ustaz Mohd Azhar Abdullah

Bertugas sebagai pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Di samping itu pembentang kertaskerja dan bengkel di sekitar negeri Kelantan dan luar negeri Kelantan termasuk Singapura dan Selatan Thailand. Selain daripada menjadi kolumnis Mingguan Wasilah, beliau telah menghasilkan hampir 30 artikel bercetak dan telah menerbtkan 5 buah ilmiah. Kelayakan akademik;

- M.A. Syariah, Universiti Malaya
- B.A Hons Syariah, Univ Al-Azhar, Mesir
- Sijil Kursus Pengajian Ilmu Qiraat, Kias
- Sijil Pondok Pasir Tumbuh, Kubang Kerian, Kelantan

2. Al-Fadhil Ustaz Muhammad Lukman Al-Hafiz Bin Ibrahim

Pensyarah kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Pakar dalam bidang al-Quran khususnya tajwid, tafsir dan tarannum asli dan murattal. Seringkali mewakili pertandingan musabaqah al-Quran peringkat Daerah Negeri dan kebangsaan. Selain itu menjadi imam terawih di Masjid Besar Kampung Sireh, Kota Bharu, Masjid Darul Makmur Yishun, Singapura 2001, 2002,2003, 2005 dan 2007. Imam Terawih Di Stadium Muhammad Ke 4 Kota BharuØKota Bharu Kelantan 2004. Ketua Kumpulan Qasidah “Raudhah Tilawah” Musabaqah Peingkat Antarabangsa. Juri Tarannum Akademi Quran (AQ) TV9 Peringkat Negeri Kelantan bertempat di Balai Islam Kota Bharu. 19 & 20 Febuari 2007. Kelayakan akademik ;

- M.A. Usuluddin, Um
- B.A Usuluddin, UM
- Ahli Tarannum & Qari Jemputan
- Imam Terawih Di Masjid Darul Makmur, Singapura 2001-2005
- Ketua Kumpulan Qasidah “Raudhah Tilawah”

3. Al-Fadhil Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab.Ghani

Pensyarah kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi subjek al-Quran dan ilmu Qiraat dan merangkap Penyelaras Pusat Kursus Pengajian Ilmu-ilmu Islam (PKPII), KIAS. Juga merupakan tenaga pengajar bagi Kursus Pengajian Ilmu Qiraat & Tarannum, KIAS. Beliau juga telah menerbitkan kitab yang berkaitan dengan qiraat iaitu ” Juzu’ ’Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq al-Syatibi” dan " Nafahatul Jinan Fi Usul Riwayat Qalun". Beliau juga pernah diundang menjadi imam terawih di Masjid Darul Makmur Yishun, Singapura 2005 – 2007. Bagi rancangan Akademi Quran (AQ)TV9, Peringkat Negeri Kelantan pada Febuari 2007 yang bertempat di Balai Islam, Kota Bharu, beliau menjadi juri bahagian Fasohah. Kelayakan akademik ;

- B.A Usuluddin Univ. Al-Azhar
- Ijazah Sanad Qiraat Sepuluh daripada Syaikh Ridha Salim Ali Sayyed Ahmad
- Ijazah Sanad Riwayat Hafs dan Qiraat Nafi' daripada al-Marhum Syaikh Mustafa bin Ahmad bin Abdul al-'Al al-Halawani


10. KANDUNGAN SEMINAR

Seminar ‘Pengukuhan Al-Fatihah “Amali Dan Penghayatan Kontemporari” mengandungi enam kertas kerja yang dibentangkan oleh Pensyarah-pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra sebagaimana berikut :

1) KEISTIMEWAAN SURAH AL-FATIHAH : TUMPUAN TERHADAP JAMPI ISLAM
Oleh : Ustaz Mohd Azhar Abdullah
2) KEPELBAGAIAN QIRAAT MUTAWATIR DALAM AL-FATIHAH: SATU PENJELASAN DARI SUDUT TEORI DAN AMALI
Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani
3) KEPENTINGAN PENGAMALAN TARANNUM MURATTAL KEPADA MASYARAKAT
Oleh : Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim
4) SURAH AL-FATIHAH : SATU PENGUKUHAN TERHADAP FIQH SOLAT.
Oleh : Ustaz Mohd Azhar Abdullah

5) AL-FATIHAH : HURAIAN TERHADAP 30 AL-LAHN DALAM PEMBACAAN MASYARAKAT UMUM
Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani
6) TEORI DAN PRAKTIKAL TARANNUM MURATTAL HIJAZI
Oleh : Ustaz Muhammad Lukman Ibrahim


11. METODOLOGI PEMBENTANGAN
Keseluruhan pembentangan akan menggunakan kertaskerja yang disediakan di samping penghuraian melalui ”Powerpoint”. Manakala sesi pembentangan pada setiap sesi akan menumpukan aspek praktikal sebanyak 60% antara pembentang dan perserta secara langsung dan pemindahan teori hanya 40% untuk melatih dan meningkatkan penguasaan perserta.


Sebarang perundingan / perbincangan sila hubungi :
Siti Hajar Binti Deraman ( Pengurus Al Tartil Centre )
013-923 7072 @ 013-922 7072 @ 013-605 5160

Monday, March 30, 2009

KELAHIRAN YANG DINANTI


Agak lama tidak mencatatkan sesuatu di dalam blog ini. Namun, Al Tartil Centre tidak menyepi bahkan kelas pengajian berjalan seperti biasa dan program yang dirancangkan telah dilaksanakan dengan jayanya. Program yang terakhir baru-baru ini ialah " Bengkel Pemantapan dan Penghayatan Surah Yaasiin" .

Antara kertas kerja yang dibincangkan dalam bengkel itu ialah ; Kaifiyat Membaca Surah Yassin, dibentangkan oleh Tuan Hj. Ab. Ghani, Imam Masjid Sultan Yahya Petra, Machang. Kertas kerja kedua pula bertajuk " Tafsir Surah Yaasiin " dibentangkan oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fadhli Syaari, Ketua Jabatan Dakwah Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) dan kertas kerja ketiga pula; Tajwid Surah Yaasiin yang dibentangkan oleh insan yang dekat dihatiku, siapa lagi kalau bukan zauji yang merupakan pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ). Maklumat program terperinci nanti post lain masa.

Sebenarnya lama tak mencatatkan sesuatu dalam blog ini kerana tanggal 5 Rabiul Awwal bersamaan 2 Mac 2009, Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi, saya telah selamat melahirkan putera yang kedua. Kini telah mempunyai 3 puteri dan 2 putera. Anak sulong bernama Amirah Hasifah, kedua, Amirah Hawadah, ketiga, Amirah Hasyasyah, keempat, Muhammad Amir Hasif dan kelima Muhammad Amir Hanif.
Semoga para pembaca budiman mendoakan kebahagiaan untuk saya sekeluarga dan umat Islam seluruhnya. Tidak lupa juga doakan untuk Al Tartil Centre agar dapat memperbanyakkan program-program agama demi membentuk Generasi Al-Quran.

Thursday, January 1, 2009

IKLAN PENGAJIAN