Thursday, September 10, 2009

Buku " Juzu’ ‘Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq Al-Syatibi"

Pengarang : Us. Muhammad Amiri b. Ab. Ghani

Tahun Terbit : 2003

Halaman : 72 hlm.

Sinopsis :

Buku ini menghuraikan kaedah pembacaan al-Quran dengan Riwayat Warsy di dalam Juzu’ ‘Amma. Penerangan terhadap kaedah tersebut dalam Bahasa Malaysia dengan gaya bahasa yang mudah difahami yang diterangkan pada setiap surah bermula surah al-Fatihah seterusnya surah al-Naba’ hingga al-Nas membantu pelajar yang bertalaqqi al-Quran dengan riwayat Warsy. Riwayat Warsy ini masyhur dan masih diamalkan pembacaannya di Jazair, Maghribi, Tunisia. Riwayat ini juga merupakan salah satu daripada 20 riwayat mutawatir yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya seperti riwayat Hafs, iaitu bacaan yang masyhur di negara kita.

Kandungan :

1. Kata Pengantar
2. Kata-kata Aluan
3. Secalit Tinta Penulis
4. Biografi Imam Warsy
5. Sanad Riwayat Warsy.
6. Beberapa Tanda Penting Dalam Mushaf Riwayat Warsy.
7. Surah al-Fatihah.
8. Surah al-Naba’ hingga surah al-Nas
9. Hukum Naqal
10.Hukum Mim Jama’
11.Hukum Ra’ Kaedah Pertama
12.Kaedah Ibdal Hamzah Mufrad
13.Hukum Mad Badal
14.Hukum Mad Lin
15.Hukum Ra’ Kaedah Kedua
16.Hukum Dua Hamzah Dalam 1 Kalimah
17.Hukum Zi al-Ya’
18.Hukum Zi al-Ya’ Pada Ra’su al-Ayat
19.Hukum Zi al-Ra’
20.Hukum Zi al-Ya’ Bersambung Dengan Ha’ Dhamir
21.Hukum 2 Hamzah Dalam 2 Kalimah
22.Hukum Kalimah " رأى "
23.Hukum Lam
24.Hukum Bagi Alif Yang Terletak Sebelum Ra’ Berbaris Bawah
25.Hukum Zi al-Ya’ Berhimpun Dengan Mad Badal
26.Hukum Bagi Kalimah " الكافرين "
27.Hukum Ya’ al-Zawa‘id Dan Ya’ al-Idhafah
28.Hukum Bagi Kalimah " أرءيت "
29.Bibliografi

Wednesday, September 9, 2009

Bengkel Qiraat (1): Kaedah Riwayat Warsy

Semasa pedaftaran bengkel di Kelas Pra Al Tartil


Sebahagian daripada peserta muslimin sedang
memberi tumpuan dalam Bengkel Qiraat (1)

Sebahagian daripada peserta muslimat
dalam Bengkel Qiraat (1)

Program Bengkel Qiraat (1) Berlangsung Dengan Jayanya

Alhamdulillah, pada 5 September 09 ( Sabtu ), program Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy berjalan dengan lancar. Seramai 40 orang menyertai program tersebut yang terdiri daripada pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat, Guru-guru al-Quran daripada Mahaad Tahfiz Sains, Mahasiswa IPTS tempatan, pelajar menengah, pencinta dan peminat ilmu al-Quran.

Pembentangan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Amiri bin Ab. Ghani, Pensyarah KIAS selama 3 jam bermula jam 9 pagi hingga 12 tgh, dengan tayangan slide dan penerangan yang jelas memudahkan para peserta memahami kaedah Riwayat Warsy ditambah dengan mempraktikkan secara langsung kaedah-kaedah yang dibincangkan dalam bengkel tersebut.

Menurut al-Fadhil Ustaz, pembentangan kertas kerja dalam masa 3 jam itu Insya Allah, para peserta mampu membaca Juzu' 'Amma menurut Riwayat Warsy dengan penambahan sedikit pengetahuan tentang Farsy al-Huruf yang terkandung dalam Juzu' ketiga puluh itu.
Insya Allah, al Tartil Centre merancang untuk menganjurkan sekali lagi program seperti ini dengan pembentangan kaedah riwayat yang lain pula. Ini berikutan dengan permintaan ramai daripada peserta yang mengikuti program tersebut.

Pihak al Tartil Centre mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudari yang hadir menjayakan program tersebut dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn Zumurni, wartawan Sinar Harian yang tidak ketinggalan menghebahkan kepada orang ramai berhubung dengan program tersebut.

Buat pengunjung blog ini, di sini Al Tartil Centre memasukkan sebahagian daripada kandungan kertas kerja pembentangan oleh Ust Muhammad Amiri. :-

¨Allah s.w.t yang menciptakan bangsa Arab ini terdiri daripada pelbagai kabilah dan setiap kabilah itu mempunyai dialeknya tersendiri. Maka menjadi lambang kasih sayang Allah terhadap hambaNya, Dia memberi kelonggaran kepada mereka yang mengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w membaca al-Quran itu dengan dialek dan bahasa kabilah itu sendiri sebagaimana yang diturunkan kepada RasulNya s.a.w.

AL-QIRAAT; Kepelbagaian Bacaan قِرَاءَةٌ ، قِرَاءَتَانِ ، قِرَاءَاتٌ Ibnu al-Jazariy mendefinisikan Qiraat sebagai:“Suatu ilmu yang membicarakan tentang cara penyebutan kalimah-kalimah al-Quran dan perselisihannya yang dinisbahkan kepada yang menaqalkannya (memindahkannya iaitu para Imam qurra’’) ¨Manakala takrif daripada Al-Sabuniy : ¨“Qiraat ialah suatu mazhab daripada beberapa mazhab dalam kaedah pembacaan al-Quran yang masing-masing (setiap daripada imam qiraat ) daripada ulama qurra’ memilih satu kaedah yang berbeza berhubung dengan penyebutan (penuturan) ayat al-Quran al-Karim dan ianya bersambung dan sabit (tetap) dari sudut sanadnya hingga kepada Rasulullah s.a.w.

BAB PERTAMA Farsy al-Huruf ; Tiap-tiap lafaz al-Quran yang berlaku khilaf di kalangan qurra’ dari segi bacaannya. Farsy al-Huruf tidak dikategorikan di bawah mana-mana bab usul kerana perubahan ini berlaku sedikit sahaja di dalam mushaf Uthmani. Misalnya dalam surah al-Fatihah: 4, Mim dibaca dengan tanpa mad bagi riwayat Warsy. -----------------------------------------------------------------------------------------------* Kandungan selanjutnya sila dapatkan kertas kerja ini di Al Tartil Centre, Machang.

Friday, August 21, 2009

‘ BENGKEL QIRAAT (1) : KAEDAH RIWAYAT WARSY

Saidina Uthman bin ‘Affan meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda ; "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya".

Ilmu al-Quran terlalu luas. Masih banyak yang boleh diterokai. Salah satu ilmu yang masih lagi tidak diperluaskan dan diperkembangkan ialah ilmu Qiraat. Masyarakat Islam masih ramai lagi tidak mengetahui tentang kewujudan kepelbagaian bacaan al-Quran atau disebut sebagai Qiraat. Bahkan setengah daripada mereka tidak dapat menyatakan bacaan al-Quran yang dibaca oleh umat Islam khususnya di Malaysia adalah menurut Riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim. Apakah yang dimaksudkan dengan riwayat? Siapakah dia Imam Hafs ? apa kaitannya dengan al-Quran ? persoalan-persoalan sedemikian masih terbelenggu dalam pemikiran masyarakat awam. Justeru, Al Tartil Centre menganjurkan Bengkel Qiraat (1) : Kaedah Riwayat Warsy , dalam usaha untuk mengenengahkan ilmu Qiraat kepada masyarakat sekitar yang berminat untuk mengetahui ilmu berkaitan dengan Qiraat sekali gus menambah pengetahuan dalam bidang Ilmu Tajwid al-Quran. Semoga penganjuran program ini mencapai objektif dan penyertaan muslimin muslimat dalam program tersebut mudah-mudahan mendapat keredhaan Allah dan diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda sempena bulan yang Mulia Ramadhan al-Mubarak.

Butiran bengkel adalah sebagaimana berikut :
Tarikh : 5 September 2009
Hari : Sabtu
Masa : 9.00 pg – 12.00 tgh
Tempat : Dewan Al Tartil
Pembentang : Ustaz Muhammad Amiri bin Ab. Ghani
Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ),
Nilam Puri.
Penyusun Kitab “ Juzu’ ‘Amma Menurut Riwayat Warsy
Tariq al-Syatibiyy”
Yuran Penyertaan: RM 15.00 sahaja.
DAFTAR SEGERA!! UNTUK PENDAFTARAN CLICK COMMENT DAN SILA TAIPKAN NAMA, NO IC SERTA NO TELEFON ANDA.SIJIL PENYERTAAN AKAN DIBERI KEPADA SETIAPPESERTA BENGKELTEMPAT TERHAD!!

Biografi Imam Qalun Al-Madani

Daripada buku "Nafahat Al-Jinan Fi Usul Riwayat Qalun Al-Madani" susunan Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani


Nama sebenar Imam Qalun ialah ‘Isa bin Mina bin Wardan bin Isa bin Abdul Samad bin Umar bin Abdullah al-Zuraqi[1] al-Madani[2]. Beliau merupakan seorang yang alim dalam bahasa Arab dan bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu itu kepada umat Islam yang lain. Moyangnya ialah salah seorang daripada tawanan perang pada zaman khalifah yang kedua Umar bin al-Khattab[3].

Imam Qalun dilahirkan pada tahun seratus dua puluh hijrah ( 120H ) pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Beliau bukan sahaja menjadi anak tiri kepada Imam Nafi’ iaitu seorang yang alim dalam qiraat bahkan merupakan salah seorang murid dan perawinya pada zaman al-Mansur.

Diriwayatkan bahawa gurunya Imam Nafi’ menggelarnya Qalun kerana perkataan Qalun itu berasal dari pertuturan bangsa Rom bermaksud “ Jayyid ” iaitu baik[4]. Gelaran ini bertepatan bagi Imam Qalun kerana keelokannya dalam pembacaan al-Quran al-Karim yang melayakkan beliau diangkat sebagai qari Madinah.

Menurut sejarah, ketekunan beliau dalam bertalaqqi al-Quran daripada Imam Nafi’ amat dikagumi kerana beliau sempat mengkhatamkannya beberapa kali sepanjang 20 tahun beliau berguru dengan Imam Nafi’ bermula tahun seratus lima puluh hijrah (150H) sehingga Imam Nafi’ pernah bertanya kepadanya :
“ Sampai bilakah engkau ingin mempelajari al-Quran daripada aku? Duduklah di tiang seri sana sehingga aku hantar orang lain mempelajari al-Quran daripadamu ”.

Ucapan ini sebenarnya merupakan satu pengiktirafan daripada gurunya terhadap imam Qalun bahawa beliau telah layak menjadi guru dan berkebolehan mengajar al-Quran kepada orang lain.

Imam Qalun mengambil bacaan daripada Imam Nafi’ yang diambil daripada Imam Abi Ja’far dan bacaan yang dipilih oleh Imam Nafi’ sendiri[5]. Imam Qalun juga mengambil bacaan daripada Isa bin Wardan al-Hiza’.

Imam Qalun walaupun seorang yang pekak sehingga tidak dapat mendengar bunyi terompet tetapi apabila al-Quran dibacakan kepadanya, beliau mendengar dan dapat pula memperbetulkan kesalahan dengan memerhati kepada mulut pembaca tersebut[6].

Riwayat Qalun adalah satu riwayat mutawatir yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya seperti riwayat Hafs[7] iaitu bacaan yang masyhur di negara kita. Manakala riwayat Qalun ini pula masyhur di Timur Afrika khususnya di setengah tempat di Tunisia dan Mesir dan juga masyhur di Libya[8].

Imam Qalun menghembus nafasnya yang terakhir di Madinah pada tahun dua ratus dua puluh hijrah ( 220 H ) mengikut pendapat yang sahih[9] pada zaman Khalifah al-Ma’mun.



[1] Al-Zubaydi, Al-Syaikh Uthman bin Umar Abi Bakr, Syarh al-Imam al-Zubaidi : hlm . Manakala di dalam kitab Syarh Risalah Qalun karangan al-Syaikh ‘Ali Muhammad al-Dhaba’, Qalun ialah : Isa bin Mina bin Wardan bin Isa bin Abdul Rahman bin ‘Amr bin Abdullah al-Rizq.
[2] (عيسى بن مينا بن وردان بن عيسى بن عبد الصمد بن عمر بن عبد الله الزرَقى المدني)
[3] Ibid, hlm 518.
[4] al-Qadhi, Al-Syaikh Abdul Fattah, Syarh al-Sir al-Masun Fi Riwayat Qalun, hlm : 7.
[5] Maksud “ bacaan yang dipilih oleh Imam Nafi’ sendiri ” ialah memilih bacaan yang paling masyhur di antara bacaan-bacaan yang dipelajari daripada guru-gurunya dan bacaan yang paling banyak periwayatnya. Sebagai contoh, Imam Nafi’ mempelajari qiraat daripada ramai orang guru sehingga mencapai 70 orang dari kalangan tabi ‘in, akan tetapi beliau tidak membaca kesemua yang diambil daripada gurunya itu bahkan katanya : “ Aku meneliti pada tiap-tiap bacaan yang disepakati oleh dua orang dari kalangan mereka lalu aku mengambil bacaan tersebut, dan mana-mana bacaan yang menyalahi salah seorang dari kalangan mereka aku tinggalkan sehingga aku susun bacaan ini di dalam huruf-huruf ini ”. Lihat Safahat Fi ‘Ulum al-Qiraat, karangan Dr. Abdul Qayyum bin Abdul Ghafur al-Sindiy, hlm : 187.
[6] Abi Zar‘ah, Abdul Rahman bin Muhammad Zanjalah, Hujjatu al-Qiraat, hlm:52.
[7] Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi ( 90H - 180H )
[8] Ibid, hlm 66.
[9] Ibid.


Pelajar Pra Al Tartil Centre 5 - 6 tahun
bersama dua orang ustazah mereka Sesi 2008

Thursday, August 20, 2009

KEPELBAGAIAN QIRAAT MUTAWATIR DALAM AL-FATIHAH :SATU PENJELASAN DARI SUDUT TEORI DAN AMALI

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani
amirighani@yahoo.com

Pembentangan kertas kerja ini ialah bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap satu ilmu yang agak malap dari segi perkembangannya pada alaf ini sedangkan ilmu tersebut berkait rapat dengan al-Quran al-Karim. Ilmu yang dimaksudkan ialah Ilmu Qiraat yang akan dikupaskan di dalam kertas kerja ini secara teori dan praktikal bacaan al-Fatihah dengan kepelbagaian qiraat.

2. Al-Qiraat ( Kepelbagaian Bacaan )
Qiraat dari segi bahasa bermaksud : Kepelbagaian bacaan. Manakala dari segi istilah pula ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu al-Jazari : “Qiraat ialah satu ilmu yang membicarakan tentang cara untuk menuturkan kalimah-kalimah al-Quran al-Karim dan kepelbagaiannya serta disandarkan kepada penaqalnya (Imam Qiraat)[1]”.

3. Hikmah Penurunan Al-Quran Dengan Kepelbagaian Qiraat
Kepelbagaian bacaan adalah merupakan satu rahmat daripada Allah s.w.t untuk umat Islam. Allah s.w.t menurunkan al-Quran dengan pelbagai bacaan untuk memberikan kemudahan kepada umat Islam membacanya. Jelasnya, di sebalik hikmah daripada pemberian Allah s.w.t ini ialah membuktikan bahawa baginda Rasulullah s.a.w adalah semulia-mulia makhluk yang mengambil berat kemaslahatan umatnya melalui permintaan baginda yang tidak putus-putus setiap kali Jibril menemuinya dan berkata : “Allah s.w. memerintahkan kamu supaya umatmu membaca dengan satu huruf ”, maka baginda berkata : “Aku memohon keampunan daripada Allah s.w.t, sesungguhnya umatku tidak mampu sedemikian” Setiap kali Jibril datang menambah satu huruf setiap itulah baginda memohon supaya ditambah demi meringankan bebanan umatnya untuk membaca Kitab Allah sehinggalah berkhir penambahan itu dengan tujuh huruf.

4. Dalil Wujud Kepelbagaian Bacaan Al-Quran
Terdapat banyak hadis yang menjadi dalil kepelbagian qiraat dalam al-Quran. Antaranya ialah seperti kisah yang berlaku antara Saidina Umar al-Khattab dengan Hisyam bin Hakim ; Daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya ;

سَمِعْتُ هِشَامَ بْنَ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفُرْقَانِ فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَاسْتَمَعْتُ لِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا هُوَ يَقْرَأُ عَلَى حُرُوفٍ كَثِيرَةٍ لَمْ يُقْرِئْنِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم . فَكِدْتُ أُسَاوِرُهُ فِي الصَّلَاةِ فَتَصَبَّرْتُ حَتَّى سَلَّمَ فَلَبَّبْتُهُ بِرِدَائِهِ فَقُلْتُ مَنْ أَقْرَأَكَ هَذِهِ السُّورَةَ الَّتِي سَمِعْتُكَ تَقْرَأُ قَالَ أَقْرَأَنِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقُلْتُ كَذَبْتَ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَدْ أَقْرَأَنِيهَا عَلَى غَيْرِ مَا قَرَأْتَ فَانْطَلَقْتُ بِهِ أَقُودُهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ هَذَا يَقْرَأُ بِسُورَةِ الْفُرْقَانِ عَلَى حُرُوفٍ لَمْ تُقْرِئْنِيهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَرْسِلْهُ اقْرَأْ يَا هِشَامُ فَقَرَأَ عَلَيْهِ الْقِرَاءَةَ الَّتِي سَمِعْتُهُ يَقْرَأُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَذَلِكَ أُنْزِلَتْ ثُمَّ قَالَ اقْرَأْ يَا عُمَرُ فَقَرَأْتُ الْقِرَاءَةَ الَّتِي أَقْرَأَنِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَذَلِكَ أُنْزِلَتْ إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ أُنْزِلَ عَلَى سَبْعَةِ أَحْرُفٍ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ Daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya : “Aku mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah al-Furqan semasa hidup Rasulullah, maka aku sengaja mendengar bacaannya. Tiba-tiba dia membaca dengan huruf yang banyak ( pelbagai bacaan ) yang tidak pernah Rasullullah membacanya kepada aku. Hampir aku ingin menariknya di dalam solat, namun aku bersabar sehingga dia memberi salam. Selesai salam, aku menarik bajunya sambil berkata:“ Siapakah yang membacakan kepadamu surah yang telah aku dengar engkau bacakan ini ?” Katanya : “Rasulullah s.a.w yang membacakannya kepada aku”. Maka aku(Umar) berkata:“Engkau bohong! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membacanya kepada aku tidak sama dengan apa yang engkau baca ”. Lalu aku membawanya kepada Rasulullah s.a.w dan mengadu : “Sesungguhnya aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan pelbagai huruf yang tidak engkau bacanya kepada aku ”. “ Lepaskan dia wahai Umar!” kata Rasulullah s.a.w.“Baca wahai Hisyam!” Maka Hisyam membaca sebagaimana yang telah aku dengar bacaannya. Baginda pun bersabda: “ Demikianlah ia ( al-Quran ) diturunka ”. Kemudian baginda berkata: “Baca wahai Umar!” Maka aku pun membaca sebagaimana yang dibaca oleh baginda kepada aku. Lalu baginda bersabda : “ Demikianlah ia (al-Quran) diturunkan, sesungguhya al-Quran ini diturunkan dengan Tujuh Huruf, maka bacalah oleh kamu apa yang mudah daripadanya ”
[2].

5. Bacaan Al-Quran Umat Islam Di Malaysia
Umat Islam di Malaysia keseluruhannya membaca al-Quran berdasarkan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim yang merupakan salah satu daripada 20 riwayat mutawatir.

6. Sanad Riwayat Hafs[3]

7. Nama-Nama Imam Qiraat Sepuluh Beserta Perawi Yang Masyhur
1. Imam Nafi’[4]
Perawinya : Qalun[5] dan Warsy[6]
2. Imam Ibnu Kathir [7]
Perawinya : Al-Bazzi[8] dan Qunbul[9]
3. Imam Abu ‘Amr [10]
Perawinya : Al-Duriyy[11] dan Al-Susiyy[12]
4. Imam Ibnu ‘Amir [13]
Perawinya : Hisyam[14] dan Ibnu Zakuan[15]
5.Imam ‘Asim[16]
Perawinya : Syu’bah[17] dan Hafs[18]
6. Imam Hamzah[19]
Perawinya : Khalaf[20] dan Khallad[21]
7. Imam Al-Kisa’i[22]
Perawinya : Al-Laith[23] dan Al-Duriyy[24]
8. Imam Abu Ja’far[25]
Perawinya : Ibnu wardan[26] dan Ibnu Jammaz[27]
9. Imam Ya’kub [28]
Perawinya : Ruais[29] dan Rauh[30]
10. Khalaf al-‘Asyir[31]
Perawinya : Ishaq[32] dan Idris[33]

8. Teori Dan Praktikal Al-Fatihah :
8.1 Riwayat Hafs Daripada ‘Asim


8.2 Riwayat Warsy Daripada Imam Nafi'
8.3 Riwayat Qunbul Daripada Ibn Kathir
8.4 Riwayat Al-Susiyy Daripada Abi 'Amr
8.5 Riwayat Khalaf Daripada Hamzah
1] Ibnu al-Jazari, Munjid al-Muqri’in Wa Mursyid al-Talibin, hlm : 3. Cetakan Kaherah, Maktabah al-Azhariyyah Li al-Turath. [2] Sahih Bukhari, Fadhai’l Al-Quran, bil : 4608, sila lihat juga Sahih Muslim, Solat Al-Musafirin, bil : 1354. [3] Lihat Al-QiraatAhkamuha Wa Masdaruha, Dr. Sya’ban Muhammad Ismail,, hlm : 61, Dar al-Salam, Kaherah, 1986, sila lihat juga Syarh al-Imam al-Zubaidi ‘Ala Matn al-Durrah, Syaikh Uthman bin Umar al-Zubaidi, hlm : 535, Maktabah al-‘Asriyyah, Beirut, 1989. [4] Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Nuim al-Madani ( 70H-169H ). [5] Abu Musa Isa bin Mina bin Wardan ( 120H – 220H ). [6] ‘Uthman bin Sa‘id bin Abdullah ( 110H – 197H ). [7] Abdullah bin Kathir bin ‘Amr bin Abdullah al-Makki al-Dari ( 45H-120H ).
[8] Ahmad bin Muhammad bin Abdullah ( 170H - 250H ) [9] Muhammad bin Abdul Rahman bin Khalid ( 195H – 291H ) [10] Abu ‘Amr Zabban bin al-‘Alla’ bin ‘Ammar bin al-‘Uryan al-Mazini al-Tamimi al-Basri ( 68H-154H ). [11] Abu Umar Hafs bin Umar bin Abdul Aziz ( - 246H ). [12] Abu Syu‘aib Soleh bin Ziyad bin Abdullah bin Ismail al-Susiy ( - 261H ) [13] Abdullah bin ‘Amir bin Yazid bin Tamim bin Rabi’ah bin ‘Amir al-Yahsabi ( 8H-118H ). [14] Abu al-Walid Hisyam bin ‘Ammar bin Basyir bin Maisarah ( 153H – 245H ). [15] Abu ‘Amr Abdullah bin Ahmad bin Basyir bin Zakuan ( 173H – 242H ). [16] Abu Bakr ‘Asim bin Bahdalah Abi al-Najud al-Kufi al-Hannat al-Asadi ( - 127H ) [17] Abu Bakar Syu’bah bin ‘Ayyasy bin Salim al-Kufi ( 95H – 193H ) [18] Abu ‘Amr Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi ( 90H – 180H ). [19] Abu ‘Imarah Hamzah bin Habib bin ‘Imarah bin Ismail al-Zayyat al-Kufi al-Tamimi ( 80H-156H ). [20] Abu Muhammad Khalaf bin Hisyam ( 150H – 229H ). [21] Abu Isa Khallad bin Khalid Al-Syaibani ( - 220H ). [22] Abu al-Hasan Ali bin Hamzah bin Abdullah bin Bahman bin Fairuz al-Asadi al-Kufi al-Nahwi ( 119H-189H ). [23] Abu al-Harith Al-Laith bin Khalid Al-Baghdadi ( - 240H ). [24] Abu Umar Hafs bin Umar bin Abdul Aziz ( - 246H ). [25] Abu Jaafar Yazid bin al-Qa’qa’ al-Makhzumi al-Madani ( - 130H ) [26] Isa bin Wardan ( - 160H ). [27] Abu Al-Rabi’ Sulaiman bin Muslim bin Jammaz. ( - 170H ). [28] Abu Muhammad Ya’kub bin Ishak bin Zaid bin Abdullah bin Abu Ishak al-Hadhrami.( 117H-205H ). [29] Abu Abdullah Muhammad bin Al-Mutawakkil Al-Lu’lu’ ( - 238H ) [30] Abu al-Hassan Rauh bin Abdul Mu’min ( - 224H ). [31] Abu Muhammad Khalaf bin Hisyam al-Bazzar al-Baghdadi ( 150H-229H ). [32] Abu Ya’kub Ishaq bin Ibrahim bin Uthman ( - 286H ). [33] Abu al-Hassan Idris bin Abdul Karim al-Baghdadi ( 189H – 292H ).