Sunday, September 13, 2009

Biografi Imam Warsy

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Ab.Ghani
Penyusun Buku " Juzu' 'Amma Menurut Riwayat Warsy Tariq al-Syatibi"


Nama sebenarnya ialah Uthman bin Sa‘id bin Abdullah bin ‘Amru bin Sulaiman bin Ibrahim al-Misriyy ( المصرى ) al-Muqri’[1]. Dilahirkan pada tahun 110 Hijrah bersamaan 725 Masihi di Qift ( قِفْط ) yang terletak di sebelah selatan Mesir.

Beliau berhijrah ke Madinah dan mempelajari al-Quran daripada Imam Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Nu‘im al-Laithiyy al-Madaniyy yang berasal dari Asfahan dan sempat khatam beberapa kali pada tahun 155 Hijrah. Kemudian beliau kembali ke Mesir.

Ada yang berpendapat bahawa Imam Nafi’ menggelarnya Warsy kerana kulitnyayang sangat putih. Dengan kemahiran dan kefasihan Imam Warsy dalam pembacaan al-Quran, luas pengetahuan dalam Ilmu Tajwid dan fasih dalam bahasa Arab serta keelokan suaranya menambat hati sesiapa sahaja yang mendengar bacaan beliau, melayakkannya menjadi guru besar dalam Ilmu Qiraat di tanah airnya. Seterusnya, bacaan Warsy menjadi masyhur dan diamalkan oleh umat Islam di Mesir untuk beberapa kurun.

Beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 197 Hijrah bersamaan 812 Masihi dalam usia 87 tahun dan dikuburkan di suatu tempat yang dikenali ramai dengan nama Qarafah ( القرافة ) .

0 comments: