Friday, August 21, 2009

Biografi Imam Qalun Al-Madani

Daripada buku "Nafahat Al-Jinan Fi Usul Riwayat Qalun Al-Madani" susunan Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani


Nama sebenar Imam Qalun ialah ‘Isa bin Mina bin Wardan bin Isa bin Abdul Samad bin Umar bin Abdullah al-Zuraqi[1] al-Madani[2]. Beliau merupakan seorang yang alim dalam bahasa Arab dan bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu itu kepada umat Islam yang lain. Moyangnya ialah salah seorang daripada tawanan perang pada zaman khalifah yang kedua Umar bin al-Khattab[3].

Imam Qalun dilahirkan pada tahun seratus dua puluh hijrah ( 120H ) pada zaman Hisyam bin Abdul Malik. Beliau bukan sahaja menjadi anak tiri kepada Imam Nafi’ iaitu seorang yang alim dalam qiraat bahkan merupakan salah seorang murid dan perawinya pada zaman al-Mansur.

Diriwayatkan bahawa gurunya Imam Nafi’ menggelarnya Qalun kerana perkataan Qalun itu berasal dari pertuturan bangsa Rom bermaksud “ Jayyid ” iaitu baik[4]. Gelaran ini bertepatan bagi Imam Qalun kerana keelokannya dalam pembacaan al-Quran al-Karim yang melayakkan beliau diangkat sebagai qari Madinah.

Menurut sejarah, ketekunan beliau dalam bertalaqqi al-Quran daripada Imam Nafi’ amat dikagumi kerana beliau sempat mengkhatamkannya beberapa kali sepanjang 20 tahun beliau berguru dengan Imam Nafi’ bermula tahun seratus lima puluh hijrah (150H) sehingga Imam Nafi’ pernah bertanya kepadanya :
“ Sampai bilakah engkau ingin mempelajari al-Quran daripada aku? Duduklah di tiang seri sana sehingga aku hantar orang lain mempelajari al-Quran daripadamu ”.

Ucapan ini sebenarnya merupakan satu pengiktirafan daripada gurunya terhadap imam Qalun bahawa beliau telah layak menjadi guru dan berkebolehan mengajar al-Quran kepada orang lain.

Imam Qalun mengambil bacaan daripada Imam Nafi’ yang diambil daripada Imam Abi Ja’far dan bacaan yang dipilih oleh Imam Nafi’ sendiri[5]. Imam Qalun juga mengambil bacaan daripada Isa bin Wardan al-Hiza’.

Imam Qalun walaupun seorang yang pekak sehingga tidak dapat mendengar bunyi terompet tetapi apabila al-Quran dibacakan kepadanya, beliau mendengar dan dapat pula memperbetulkan kesalahan dengan memerhati kepada mulut pembaca tersebut[6].

Riwayat Qalun adalah satu riwayat mutawatir yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya seperti riwayat Hafs[7] iaitu bacaan yang masyhur di negara kita. Manakala riwayat Qalun ini pula masyhur di Timur Afrika khususnya di setengah tempat di Tunisia dan Mesir dan juga masyhur di Libya[8].

Imam Qalun menghembus nafasnya yang terakhir di Madinah pada tahun dua ratus dua puluh hijrah ( 220 H ) mengikut pendapat yang sahih[9] pada zaman Khalifah al-Ma’mun.



[1] Al-Zubaydi, Al-Syaikh Uthman bin Umar Abi Bakr, Syarh al-Imam al-Zubaidi : hlm . Manakala di dalam kitab Syarh Risalah Qalun karangan al-Syaikh ‘Ali Muhammad al-Dhaba’, Qalun ialah : Isa bin Mina bin Wardan bin Isa bin Abdul Rahman bin ‘Amr bin Abdullah al-Rizq.
[2] (عيسى بن مينا بن وردان بن عيسى بن عبد الصمد بن عمر بن عبد الله الزرَقى المدني)
[3] Ibid, hlm 518.
[4] al-Qadhi, Al-Syaikh Abdul Fattah, Syarh al-Sir al-Masun Fi Riwayat Qalun, hlm : 7.
[5] Maksud “ bacaan yang dipilih oleh Imam Nafi’ sendiri ” ialah memilih bacaan yang paling masyhur di antara bacaan-bacaan yang dipelajari daripada guru-gurunya dan bacaan yang paling banyak periwayatnya. Sebagai contoh, Imam Nafi’ mempelajari qiraat daripada ramai orang guru sehingga mencapai 70 orang dari kalangan tabi ‘in, akan tetapi beliau tidak membaca kesemua yang diambil daripada gurunya itu bahkan katanya : “ Aku meneliti pada tiap-tiap bacaan yang disepakati oleh dua orang dari kalangan mereka lalu aku mengambil bacaan tersebut, dan mana-mana bacaan yang menyalahi salah seorang dari kalangan mereka aku tinggalkan sehingga aku susun bacaan ini di dalam huruf-huruf ini ”. Lihat Safahat Fi ‘Ulum al-Qiraat, karangan Dr. Abdul Qayyum bin Abdul Ghafur al-Sindiy, hlm : 187.
[6] Abi Zar‘ah, Abdul Rahman bin Muhammad Zanjalah, Hujjatu al-Qiraat, hlm:52.
[7] Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi ( 90H - 180H )
[8] Ibid, hlm 66.
[9] Ibid.

0 comments: